‘220 atlet terkesan disebabkan Langkah Sheraton’ - Hannah Yeoh

Hannah Yeoh
Hannah Yeoh
A
A
A

MENTERI Belia dan Sukan, Hannah Yeoh mendedahkan sebanyak 220 atlet negara terkesan akibat daripada Langkah Sheraton yang dilakukan bagi menjatuhkan kerajaan ketika itu.

Menurut beliau, setelah pertukaran kerajaan, didapati pembentangan Belanjawan 2022 tidak memperuntukkan dana kepada Program Podium yang menyebabkan atlet tidak dapat meneruskan latihan.

Jelasnya, perkara tersebut telah menyebabkan Majlis Sukan Negara (MSN) terpaksa untuk menyusun semula program persediaan atlet ketika itu sebagai persediaan ke arah temasya sukan utama seperti Sukan Sea, Komanwel, Asean Games dan Asia Games.

Tambahnya lagi, ia menyebabkan MSN terpaksa mengagih dan menggunakan peruntukan dalaman bagi memastikan elaun latihan atlet dan gaji jurulatih diteruskan tanpa penangguhan.

“(Seramai) 220 atlet tidak dapat meneruskan latihan memandangkan tiada peruntukan khusus diberikan untuk pelaksanaan program latihan senior di bawah Program Podium.

“Setiap kali ada perubahan, apabila ada elaun tertangguh dan gaji jurulatih tertangguh sebab bajet tiada, ini beri kesan kerana ada yang perlu ke luar negara.

"Saya ada bincang dengan atlet dan persatuan, mereka mengakui dalam empat tahun ini, negara kita sibuk berpolitik dan negara jiran telah maju kehadapan.

“Kita mesti mengakui bahawa selepas Langkah Sheraton, memang ada banyak usaha yang kerajaan telah lakukan masa itu untuk bantu ekonomi, pendidikan, semuanya terganggu kerana ketidakstabilan politik. Itu adalah fakta,” katanya di Dewan Rakyat semasa sesi pertanyaan menteri pada Rabu.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan daripada Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas) yang ingin mengetahui langkah yang dilakukan Kementerian Belia dan Sukan bagi memastikan ketidakstabilan politik tidak menjejaskan sektor sukan negara.

Tambah Hannah, kementerian ketika itu telah mengambil inisiatif memohon kepada Kabinet untuk mendapatkan peruntukan bagi program tersebut dan dipersetujui di bawah Rancangan Malaysia ke-12 dengan memperuntukkan sebanyak RM240 juta dari tahun 2022-2025.

Jelasnya, langkah yang telah diambil oleh KBS adalah dengan mewujudkan jawatankuasa Road To Gold melibatkan bekas atlet, Persatuan Sukan Kebangsaan dan pentadbir sukan yang berpengalaman.

Tambah beliau, melalui kerjasama dengan Majlis Olimpik Malaysia, meskipun kerajaan berubah atau tidak stabil, atlet masih boleh menjalankan latihan dan mendapatkan infrastruktur yang mencukupi.

“Dengan adanya Majjlis Olimpik Malaysia, walaupun tidak ada menteri, jawatankuasa tetap berjalan dan tidak ada lagi gangguan terhadap atlet kita,” ujarnya.