Taktik Pati guna perahu dihidu PGA

Taktik sekumpulan Pati warga Myanmar masuk ke negara ini secara haram melalui Sungai Golok menggunakan perahu gagal apabila dicekup PGA Batalion 7 Kuantan.
A
A

RANTAU PANJANG - Tindakan sekumpulan pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Myanmar masuk ke negara ini dengan menaiki perahu melalui Sungai Golok gagal apabila dicekup anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 7 Kuantan petang semalam.

Kumpulan yang terdiri daripada tujuh lelaki dan dua wanita itu dicekup di Kampung Kedap dekat sini pada jam 4 petang.

Pegawai Pemerintah PGA Batalion 7, Superintanden Azhari Nusi berkata, pemeriksaan mendapati kesemua PATI itu tidak mempunyai dokumen perjalanan sah.

"Mereka juga menyeberangi Sungai Golok secara bersendirian sebelum diambil oleh ejen di satu lokasi yang dijanjikan,” katanya.

Menurutnya, kesemua PATI itu kemudian akan dibawa ke beberapa lokasi persembunyian sehingga dibawa ke destinasi yang dituju.

"Soal siasat mendapati salah seorang daripada mereka sudah lama berada di negara ini dan pernah bekerja sebagai pelayan di kedai makanan selama beberapa tahun sekitar Damansara, Kuala Lumpur.

"Bukan itu sahaja, dia juga mampu bertutur dengan baik dalam bahasa Melayu,” katanya.

Azhari berkata, individu itu bertindak sebagai penunjuk arah kepada pendatang asing yang baru tiba ke negara ini.

"Kesemua mereka didapati melakukan kesalahan di bawah Seksyen 5(3) & 6 (3) Akta Imigresen 1959/63," katanya.