Pahang galak pelabur asing tanpa jejas keselamatan penduduk

Mohd Nizar menjawab soalan tambahan Andansur pada sesi pertanyaan lisan dalam Mesyuarat Pertama Penggal Kedua DUN Pahang pada Selasa.
Mohd Nizar menjawab soalan tambahan Andansur pada sesi pertanyaan lisan dalam Mesyuarat Pertama Penggal Kedua DUN Pahang pada Selasa.
A
A
A

KUANTAN - Kerajaan Pahang menggalak pelaburan asing daripada pelbagai sektor dan industri tanpa menjejaskan keselamatan serta kesejahteraan penduduk setempat.

Exco Pelaburan, Perindustrian, Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Mohd Nizar Najib berkata, pelaburan asing yang dibuat di Pahang tanpa menjejaskan keselamatan dan kesejahteraan penduduk setempat.

Justeru, menurutnya, tindakan kerajaan pusat mengarahkan penyingkiran sisa radioaktif Lynas dari negara ini tidak menjejaskan pelaburan asing baharu ke negeri ini.

"Saya faham kerisauan YB (Yang Berhormat Beserah), penduduk setempat, pekerja di situ berkenaan isu membabitkan Lynas, tapi kita perlu mengimbangi kebimbangan mengenai 'radioactive waste'.

"Kita (kerajaan) galakkan pelaburan daripada pelbagai industri, termasuk industri berat lain yang mempunyai potensi luas dan ada beberapa pelabur berminat ke Pahang," katanya.

Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan Andansura Rabu (Pas-Beserah) pada sesi pertanyaan lisan pada Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang di Wisma Sri Pahang pada Selasa.

Andansura bertanya sekiranya isu sisa radioaktif Lynas itu boleh menjejaskan, apakah usaha kerajaan negeri untuk menarik pelabur antarabangsa dan hala tuju kerajaan bagi mengatasinya.

Pada Isnin, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengesahkan kerajaan telah memberi Lynas Malaysia tempoh lanjutan enam bulan untuk memenuhi syarat pelesenan beroperasi di negara ini.

Lanjutan masa itu bagaimanapun disertai dengan syarat ketat dan akan sentiasa dipantau Lembaga Perlesenan Tenaga Atom (AELB).

Dalam pada itu, Mohd Nizar memberitahu, kerajaan negeri melalui Perbadanan Setiausaha Kerajaan (PSK) juga mewujudkan laman sesawang Invest Pahang dengan memperkenalkan 'Location Centric Approach' sebagai usaha mempromosikan peluang pelaburan di Pahang.

Jelasnya, bahagian Pelaburan dan Penswastaan juga sedang meneliti beberapa cadangan insentif pelaburan yang belum dimuktamadkan.

"Kita harap insentif baharu yang bakal ditawarkan ini dapat meningkatkan nilai pelaburan Negeri Pahang," katanya.

Mohd Nizar turut memaklumkan jumlah pelaburan asing yang diterima dan diluluskan pada tahun 2021 adalah sebanyak RM 10.5 bilion manakala bagi tahun 2022 adalah sebanyak RM 11. 01 bilion.

Katanya, berdasarkan pecahan tersebut, antara sektor yang terlibat bagi tahun 2021 adalah sektor perkhidmatan dan sektor pembuatan tertumpu di Bentong serta Gebeng.

"Bagi tahun 2022, sektor pembuatan, sektor perkhidmatan, sektor penternakan serta sektor pelancongan yang menyumbang kepada pelaburan Negeri Pahang ini tertumpu di Pekan, Kuantan, serta Rompin," ujarnya.