MOA gagal bekal benih padi kepada pesawah

Tangkap layar hantaran di Facebook Ismail Sabri berhubung kegagalan MOA membekalkan benih biji padi sah kepada pesawah di Kedah dan Perlis.
Tangkap layar hantaran di Facebook Ismail Sabri berhubung kegagalan MOA membekalkan benih biji padi sah kepada pesawah di Kedah dan Perlis.
A
A
A

SHAH ALAM - Kegagalan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) membekalkan benih padi tepat pada waktunya menyebabkan kira-kira 100,000 pesawah di Kedah dan Perlis terjejas.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, keadaan itu amat mengecewakan kerana benih padi bersubsidi yang sepatutnya selesai dihantar dua minggu lalu masih belum diterima sehingga ke hari ini oleh pesawah terlibat.

Beliau berkata, sepatutnya pesawah sudah memulakan penanaman pada akhir September atau awal Oktober.

Malah katanya, MOA menetapkan jadual penanaman berdasarkan ‘rice check’ yang dikeluarkan kepada pesawah untuk dipatuhi bagi meningkatkan hasil padi.

Namun katanya, kelewatan dan kegagalan menyediakan benih padi sah itu akan menjejaskan jadual penanaman padi yang juga akan menjejaskan hasil padi mereka.

"Isu benih padi sah ini telah pun saya bangkitkan dua minggu lalu selepas perjumpaan dengan Persatuan Pengilang Padi Bumiputera Malaysia dan Persatuan Pengilang Sino-Malay Kedah. Bagaimanapun sehingga kini, masih tiada respon daripada pihak kementerian.

"Rata-rata pesawah terdiri daripada golongan miskin dan kegagalan MOA membekalkan benih padi sah ini pasti akan menjejaskan pendapatan mereka," katanya menerusi satu hantaran di Facebook miliknya hari ini.

Ahli Parlimen Bera itu berkata, sewaktu BN memerintah terdapat Program Insentif Benih Padi Sah disediakan bermula dari tahun 2006.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, atas keprihatinan kerajaan BN dalam Bajet 2017, sebanyak RM1.3 bilion diperuntukkan untuk subsidi harga padi, benih padi serta baja padi termasuk padi bukit.

Beliau berkata, itu merupakan usaha bagi membantu pesawah mengurangkan kos pengeluaran padi serta menggalakkan mereka menggunakan benih padi sah yang berkualiti, bermutu tinggi, rintang penyakit dan mengurangkan padi angin.

"Saya harap Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani bertanggungjawab atas hal ini dan mengambil tindakan segera!

"Perlu diingat! Jika pendapatan pesawah terjejas akibat kegagalan membekalkan benih, maka ia akan memberi tekanan lebih besar kepada pesawah kerana pada awal tahun depan, anak-anak pesawah akan memulakan persekolahan," katanya.

Jadi katanya, tidak cukup sekadar menteri untuk menangis, pastinya pesawah akan lebih menangis mengenangkan masa depan mereka serta keluarga.