Polis cari dua beranak warga Pakistan tipu visa pekerjaan

Noor Azmi (kanan) bersama pegawai poliss menunjukkan gambar dua beranak yang dipercayai boleh membantu siasatan kes penipuan visa pekerjaan.
A
A

AMPANG - Polis sedang mengesan dua beranak warga Pakistan bagi membantu siasatan berhubung kes penipuan permohonan visa pekerjaan profesional Mei lalu.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Noor Azmi Yusoff berkata, dua lelaki berkenaan dikenali sebagai Naseem Muhammad berusia 50-an dan Muhammad Asadullah berusia 28 tahun.

“Kedua-dua individu ini dipercayai dapat membantu kes seorang mangsa warga Pakistan telah ditipu ketika urusan mendapatkan visa pekerjaan profesional untuk tiga lelaki warga Pakistan dengan bayaran RM36,000,” katanya.

Noor Azmi berkata, semakan dengan Jabatan Imigresen Malaysia mendapati surat visa rujukan yang diterima daripada suspek itu adalah palsu dan tiada dalam rekod sistem Jabatan Imigresen.

“Kita mendapati suspek turut terlibat dengan kes di Kuala Lumpur di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan atas kesalahan menipu,” katanya.

Beliau berkata, Muhammad Asadullah juga dipercayai boleh membantu berhubung kes fitnah terhadap salah seorang pegawai penyiasat mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan.

“Suspek mendakwa memberi wang kepada pegawai itu sebanyak RM7,000 untuk menyelesaikan kes dengan tidak menangkap ayah suspek.

"Fitnah yang dilakukan oleh suspek itu menyebabkan pegawai tersebut telah ditahan reman oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 24 September hingga 28 September lalu,” katanya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kedua-dua individu berkenaan boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Munirah Razali di talian 0192692974.