Trafik sekitar Bandar Sunway, LDP sesak luar biasa hingga tengah hari

KUALA LUMPUR - Aliran trafik di sekitar Bandar Sunway dan Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP) di sini mengalami kesesakan luar biasa yang berlarutan hingga tengah hari tadi, menyebabkan ada pengguna jalan raya mendakwa lewat tiba di tempat kerja.
Tinjauan di media sosial mendapati pengguna berkongsi pengalaman terperangkap dalam kesesakan, terutama di sekitar Mentari dan laluan menghubungkan Sunway University dengan Sunway Medical Centre serta Plaza Tol Puchong Selatan hingga jambatan kabel.
Ada pengguna mendakwa perjalanan antara Sunway University dan Sunway Medical Centre mengambil masa kira-kira 40 minit berikutan keadaan trafik yang perlahan.
Kesesakan itu juga dilaporkan berlarutan hingga tengah hari apabila pengguna masih berkongsi keadaan trafik sesak setakat 12.40 tengah hari tadi.
Sementara itu, semakan di media sosial Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) Trafik mendapati kemalangan dilaporkan di LDP berhampiran susur Taylor University pada 8.20 pagi tadi menyebabkan lorong kanan terhalang dan trafik sesak.
Selain itu, sebuah kenderaan rosak di KM18.3 arah utara, dari PJS ke jambatan kabel pada 8.13 pagi dengan lorong tengah terhalang dan trafik sesak. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
