Pembunuhan cabuli kemuliaan insan

A
A
A

SABAN tahun Hari Hak Asasi Manusia diraikan pada 10 Disember. Pada tarikh ini juga Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menerima Perisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat (UDHR), iaitu pada tahun 1948. UDHR yang mengandungi 30 perkara antara lain mendukung hak manusia paling asas, iaitu hak untuk hidup dan keselamatan nyawa (Artikel 3). Justeru, makalah ini ditulis bagi menjunjung hasrat murni yang terkandung dalam dokumen berusia 70 tahun berkenaan.

Selain bukti rahmat dan kasih sayang ALLAH SWT kepada manusia, limpahan kelebihan dan keistimewaan yang dikurniakan kepada mereka disebabkan kemuliaan yang dimiliki. Sebagaimana diungkap al-Quran, manusia dikurniai pelbagai bentuk kemudahan dalam kehidupan di samping rezeki yang baik serta kelebihan yang besar berbanding makhluk yang lain (Surah al-Isra’ 17: 70).

Dalam kitab tafsirnya, Anwar al-Tanzil wa Asrar al-Ta’wil, Imam al-Baidawi yang menghuraikan maksud ayat ini menjelaskan bahawa insan dimuliakan ALLAH melalui kurniaan yang besar. Antaranya termasuklah keindahan rupa dan keseimbangan serta kesepadanan bentuk anggota tubuh.

Malah, insan dikurniai kelebihan akal dan kefahaman, di samping kebolehan berbicara, memberikan isyarat dan petunjuk serta menulis. Mereka juga berupaya menggunakan apa yang ada di bumi seperti peralatan yang diciptakan untuk kemudahan selain memahami faktor-faktor kemajuan mahupun juga punca-punca permasalahan yang berlaku seperti pencemaran dan kerosakan.

Seterusnya insan juga memiliki kemampuan untuk memanfaatkan sumber-sumber yang kaya sama ada yang datang dari langit seperti hujan mahupun yang terkandung di dalam bumi seperti galian. Kelebihan insan berbanding makhluk-makhluk yang lain juga mendorong mereka dipilih menjadi khalifah ALLAH di muka bumi.

Oleh sebab kemuliaan inilah maka penghormatan besar diberikan syariah terhadap diri insan. Hal ini merangkumi penetapan hukum-hukum tertentu bagi melindungi diri insan sejak permulaan kejadian, iaitu janin sehingga berakhirnya kehidupan duniawinya. Dengan kata-kata lain, jasad insan yang telah kaku sekalipun tidak boleh sama sekali disakiti, dihina dan sebagainya.

Kemuliaan insan juga terserlah melalui kewajipan pemeliharaan nyawa yang diletakkan ulama perundangan Islam pada kedudukan kedua selepas agama dalam susunan maslahah asasi (daruriyyat). Saifuddin al-Amidi (1156-1233M.), salah seorang ulama Mazhab Syafi`i mengatakan bahawa sebagaimana maslahah agama diutamakan, begitu jugalah maslahah atau kepentingan nyawa diutamakan berbanding maslahah-maslahah asasi yang lain, iaitu akal, keturunan, dan harta.

Kesucian nyawa ditegaskan al-Quran antara lain dalam ayat 195 Surah al-Baqarah, ayat 29 Surah al-Nisa’, dan ayat 31 Surah al-Isra’. Sementara dalam ayat 32, Surah al-Ma’idah, ALLAH SWT memberikan amaran tentang dosa besar bagi jenayah pembunuhan.

Artikel Berkaitan:

Ditegaskan bahawa sesiapa yang membunuh seorang insan tanpa alasan yang membolehkan ia dibunuh, misalnya melalui pelaksanaan hukuman qisas atau kerana melakukan kerosakan di muka bumi, maka ia seolah-olah telah membunuh seluruh manusia. Sementara dalam ayat 33 Surah al-Isra’, ALLAH SWT menegaskan bahawa sesiapa yang dibunuh secara zalim, warisnya diberikan kuasa penuh untuk menuntut balas.

Dalam hubungan ini, penetapan hukuman qisas itu sendiri merupakan pencegahan untuk memelihara serta menghalang kehilangan nyawa dan pada masa sama, mengelakkan seseorang daripada menjadi pembunuh. Kuasa yang diberikan syarak kepada waris mangsa untuk menuntut balas atau memaafkan jenayah yang dilakukan terhadap anggota keluarga dengan menerima pampasan (diyat penuh) yang bernilai 100 ekor unta atau harta yang senilai dengannya (1,000 dinar emas atau RM400,000), memiliki matlamat yang amat luhur.

Tujuannya tidak lain melainkan untuk meredakan kesedihan dan kesulitan yang dialami. Apatah lagi jika yang dibunuh atau dicederakan sehingga kehilangan upaya merupakan ketua keluarga atau anggota keluarga yang berperanan besar menyara atau meringankan bebanan keluarga.

Inilah yang dapat dilihat sedang dilalui oleh keluarga Muhammad Adib Mohd Kassim yang terkorban dalam misi mulia pasukannya, iaitu mengelakkan nyawa terkorban dalam kebakaran yang tercetus akibat rusuhan 26 November lalu. Seluruh anggota masyarakat mengharapkan agar keadilan dapat ditegakkan demi perwira negara yang terkorban itu dan keluarganya. Hukuman setimpal wajar dijatuhkan kepada penjenayah berasaskan undang-undang sedia ada.

Hukuman yang dilaksanakan itu bukan sahaja memberikan pengajaran kepada pembunuh dan anggota masyarakat tentang kesucian nyawa yang tiada galang gantinya bahkan juga kedaulatan undang-undang yang tidak dapat tidak mesti dipatuhi.

Hukuman yang dapat menegakkan keadilan bagi mangsa dan keluarga, menginsafkan pesalah selain menimbulkan kegerunan dan mengukuhkan keyakinan seluruh anggota masyarakat terhadap keselamatan awam menepati maksud ciri rahmatan lil `alamin yang terkandung dalam syariat Islam yang dibawa Baginda Nabi SAW.* Penulis Felow Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)