'Boleh saman kes program INSAN' - Peguam

Laporan Sinar Harian.
Laporan Sinar Harian.
A
A
A

SHAH ALAM - [KEMAS KINI] Individu yang berdepan fitnah disebabkan data peribadi mereka didaftarkan di bawah Skim Perlindungan Insurans Am (INSAN) tanpa pengetahuan dan persetujuan, boleh mengambil tindakan saman kerana ia dianggap sebagai satu bentuk kerugian.

Peguambela dan Peguamcara, Asiah Abd Jalil berkata, dari segi undang-undang, kerugian tidak merujuk kepada kerugian duit dan harta semata-mata.

Sebaliknya, jelas beliau, kerugian juga boleh melibatkan reputasi, maruah, nama baik, kedudukan dan pandangan umum terhadap seseorang individu terlibat.

"Nak fail saman sivil di mahkamah, kena ada kausa tindakan. Kausa tindakan hanya wujud bila ada kerugian. Tiada kerugian, tiadalah kausa tindakan.

"Dalam isu INSAN ini, saya boleh beri contoh dua individu yang mengalami kerugian yang teruk, akibat didaftarkan di bawah skim INSAN tanpa pengetahuan dan persetujuan mereka.

"Mereka difitnah dengan macam-macam tuduhan dan gelaran buruk, kerana kononnya mereka adalah individu yang diinsuranskan dalam INSAN oleh Kerajaan Negeri Selangor," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Khamis.

Dalam hantaran tersebut, beliau memuat naik tangkap layar berkaitan isu dibangkitkan penyokong Pakatan Harapan (PH) mempertikaikan status pempengaruh sosial media 'YB Viral' dan 'DD Chronicle' yang berdaftar sebagai penerima manfaat skim INSAN bawah PH.

Ia sekali gus, merujuk bahawa dua individu tersebut sebagai mangsa fitnah kerana pendaftaran bawah skim insurans tersebut adalah di luar pengetahuan mereka.

Artikel Berkaitan:

Pada Rabu, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari menafikan menggunakan data peribadi pengguna rakyat Selangor tanpa kebenaran bagi pendaftaran tersebut.

Jelas Amirudin, mereka yang telah mendapat prapendaftaran itu perlu mengesahkan dengan langkah gambar swafoto dan kad pengenalan serta berkaitan untuk mengesahkan pendaftaran tersebut.

Pada Khamis, Polis Selangor mengesahkan menerima lapan laporan berkaitan dakwaan berkaitan.

Kes tersebut diklasifikasikan sebagai Rujuk Kepada Agensi Lain atau 'Refer to Other Agency' (ROA).

Laporan juga telah dirujuk kepada Jabatan Perlindungan Data Peribadi (JPDP) yang merupakan agensi di bawah Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD).

ARTIKEL BERKAITAN: Program INSAN: Dakwaan salah guna data, polis terima 8 laporan

Nafi guna data pengguna tanpa kebenaran untuk program INSAN - MB Selangor