'Tak setuju isu larangan pembangkang masuk sekolah'

nik
nik
A
A
A
SHAH ALAM - Larangan ahli politik pembangkang untuk memasuki kawasan sekolah adalah pendekatan lama yang tidak perlu diikuti.

Menurut Ketua Pemuda PH, Nik Nazmi Nik Ahmad, justeru itu beliau tidak bersetuju dengan pandangan Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik berhubung perkara itu.

Katanya, sekolah adalah tempat penting dalam kehidupan sivik di negara kita.

"Mengharamkan pihak pembangkang dari sekolah dan institusi pengajian lain adalah salah satu penyalahgunaan kuasa yang paling buruk di bawah pemerintahan BN sebelumnya,". katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kelmarin, Maszlee ketika menggulung perbahasaan Belanjawan 2019 berkata, ahli Parlimen pembangkang yang berhasrat masuk ke sekolah kerajaan bagi menghadiri program perlu mendapatkan kebenaran daripada Kementerian Pendidikan.

Isu larangan ahli Parlimen pembangkang memasuki sekolah dibangkitkan oleh Ahli Parlimen Jerai, Sabri Azit.

Rentetan itu, isu ini turut mendapat perhatian ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin apabila menyindir kenyataan Maszlee berkenaan.

Sindir Khairy, beliau ingatkan Malaysia baharu sudah tiada larangan sedemikian.

Sementara itu mengulas lanjut, Nik Nazmi berkata, sekarang PH telah menjadi kerajaan ,ia perlu meneruskan tindakan yang mempunyai etika dan tindakan moral yang tinggi.
Artikel Berkaitan:


"Kita tidak boleh mengamalkan amalan-amalan yang menindas dan menekan kerajaan terdahulu.

"Kita mesti mempercayai semua wakil rakyat tanpa mengira parti, untuk bertindak secara bertanggungjawab apabila terlibat dengan perbincangan awam," katanya.

Mengulas lanjut, katanya dalam kebanyakan kes, ahli politik harus dibenarkan masuk ke sekolah, kolej dan universiti apabila mereka dijemput untuk berbuat demikian.

"Saya tidak faham mengapa isu seperti ini masih timbul di Malaysia Baharu.

PH mestilah berbeza. Kita mesti melakukan lebih baik dalam hal ini dan semua perkara," katanya.