ICT bantu Melaka ke arah bandar pintar

Kok Kiew menyempurnakan gimik perasmian Karnival ICT Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) di Dataran Bandaraya MBMB di Ayer Keroh, di sini hari ini.
Kok Kiew menyempurnakan gimik perasmian Karnival ICT Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) di Dataran Bandaraya MBMB di Ayer Keroh, di sini hari ini.
A
A
A

MELAKA TENGAH - Peningkatan penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) di setiap agensi kerajaan termasuk pihak berkuasa tempatan (PBT) berupaya membantu hala tuju negeri ke arah Melaka Bandar Pintar 2030.

Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau negeri, Datuk Tey Kok Kiew berkata, penggunaan secara meluas itu mampu mewujudkan keberkesanan perkhidmatan, selain memudahkan dan mempercepatkan urusan orang ramai dengan pengurusan lebih kemas dan sistematik.

Menurutnya, keadaan itu akan memberi impak positif kepada budaya kerja lebih cemerlang, secara tidak langsung menjadi pemangkin kepada inovasi dan perkhidmatan berkualiti.

"Setakat ini, pelbagai inovasi berdasarkan ICT dihasilkan boleh dimanfaatkan oleh masyarakat seperti pemasangan alat pengesan di lampu isyarat dari Ayer Keroh ke Bandaraya Melaka yang memendekkan tempoh perjalanan kepada kira-kira 10 minit oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) dan alat peranti pengesan (sensor) untuk mengukur kualiti air sungai oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan mencari parkir kosong melalui aplikasi daripada agensi berkaitan.

"Apa yang diharapkan, semua pembangunan di negeri ini akan membabitkan sistem dan aplikasi pintar selaras dengan slogan Melaka Berwibawa, Pintar, Hijau, Bersih," katanya pada sidang media selepas menyempurnakan Karnival ICT Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) di Dataran Bandaraya MBMB di Ayer Keroh di sini hari ini.

Hadir sama, Datuk Bandar MBMB, Mansor Sudin dan Setiausaha MBMB, Azhar Mohamed.

Mengulas karnival tersebut, Kok Kiew yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Banda Hilir berkata, penganjuran berkenaan dapat memberi pendedahan kepada orang ramai dan juga anggota MBMB mengenai perkembangan serta teknologi ICT terkini yang memberi penjelasan hala tuju strategik, selain penghasilan output positif bermatlamat perkhidmatan terbaik dan efisien.

"Ini merupakan acara tahunan yang bertujuan untuk menyampaikan perkembangan isu-isu terkini berkaitan pelaksanaan teknologi maklumat sebagai alat penyampaian yang lebih relevan," katanya.

Artikel Berkaitan: