Naib Ketua Wanita UMNO Seremban meninggal dunia akibat angin ahmar

Allahyarham Wan Salwati
Allahyarham Wan Salwati
A
A
A

SEREMBAN – Naib Ketua Wanita UMNO Bahagian Seremban, Wan Salwati Abdullah, 52, disahkan meninggal dunia akibat serangan angin ahmar pada Isnin.

Allahyarham menghembuskan nafas terakhir kira-kira jam 3.56 petang ketika sedang menerima rawatan di Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ), di sini.

Adiknya, Wan Mohd Husni Abdullah berkata, kakaknya tidak mempunyai sebarang masalah kesihatan sebelum ini, namun secara tiba-tiba badannya menggigil dan berpeluh pada Jumaat lalu.

"Ketika itu, dia berada di rumah salah seorang anaknya di Port Dickson dan apabila melihat keadaannya begitu, kami segera membawanya ke HTJ.

"Sebaik tiba di hospital, doktor mengesahkan kakak mengalami serangan angin ahmar dan kemudian telah ditidurkan sehingga disahkan meninggal dunia pada jam 3.56 petang tadi," katanya ketika dihubungi Sinar Harian, pada Isnin.

Ujarnya, Allahyarham menghembuskan nafas terakhir di sisi ahli keluarga termasuk lima anak perempuannya.

Tambah Wan Mohd Husni, jenazah akan dibawa ke Masjid Dato’ Klana Sendeng, Ampangan dan dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Makam Haji Mohd Said, di sini, selepas solat Isyak.

Wan Salwati sebelum ini pernah memegang jawatan sebagai Exco Pergerakan Puteri UMNO dan bertanding kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sikamat pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13), namun tewas kepada Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun.

Artikel Berkaitan:

Ringkasan AI

  • Naib Ketua Wanita UMNO Bahagian Seremban, Wan Salwati Abdullah, meninggal dunia akibat serangan angin ahmar
  • Meninggal pada jam 3.56 petang di Hospital Tuanku Ja'afar
  • Tidak ada masalah kesihatan sebelum ini, tiba-tiba badannya menggigil dan berpeluh
  • Allahyarham dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Makam Haji Mohd Said selepas solat Isyak
  • Pernah memegang jawatan Exco Pergerakan Puteri UMNO dan bertanding di DUN Sikamat PRU13

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!