30,000 pemilik gagal bayar cukai tanah, tunggakan cecah RM5 juta

SEREMBAN – Kira-kira 30,000 pemilik akaun di Negeri Sembilan masih belum menjelaskan tunggakan cukai tanah dan cukai petak mereka yang melibatkan jumlah keseluruhan RM5 juta.
Pengarah Tanah Dan Galian Negeri Sembilan (PTGNS), Mohd Faizal Abdul Manap berkata, tunggakan berkenaan direkodkan sejak 10 tahun lalu, dengan daerah Seremban mencatatkan jumlah tertinggi.
"Dalam rekod kita, ada pemilik akaun yang masih gagal menjelaskan tunggakan sehingga RM1 juta dan jika melebihi tempoh lima tahun, tindakan tegas merampas tanah mereka akan diambil.
"Kita dapati, isu ini berlaku antaranya disebabkan pemilik syarikat sudah muflis, pemilik yang sudah meninggal dunia, maklumat dalam geran tidak lengkap atau bertindih," katanya ditemui Sinar Harian selepas merasmikan Kempen Moh Dogheh Bayar Cukai Tanah/Petak Tahun 2026 di Kaunter PTGNS pada Jumaat.
Jelas Mohd Faizal, kebanyakannya melibatkan pemilik tanah kategori industri atau premis perniagaan.
Bagaimanapun ujarnya, mereka diberi peluang untuk menjelaskan tunggakan tersebut secara ansuran dan boleh juga mengemukakan rayuan kepada kerajaan negeri bagi mengurangkan kadar tunggakan.
"Mereka ini sepatunya tiada masalah untuk membayar cukai kerana sebagai sebuah entiti perniagaan, mereka peroleh keuntungan daripada perniagaan dijalankan, jadi tiada alasan.
"Tapi atas pertimbangan, kita beri kelonggaran kepada mereka untuk menjelaskan tunggakan secara ansuran dan boleh buat rayuan kepada kerajaan negeri untuk kurangkan kadar tunggakan yang perlu dibayar," katanya.
Selain itu jelasnya, dalam tempoh Januari sehingga Disember lalu, sebanyak 496 notis Borang 6A (rampasan tanah) telah dikeluarkan kepada pemilik yang gagal menjelaskan bayaran cukai masing-masing.
Justeru, beliau berkata, semua pemilik tanah diseru agar tidak culas dalam menjelaskan tanggungjawab membayar cukai tanah dan cukai petak setiap tahun dengan membuat bayaran sebelum atau pada 31 Mei bagi mengelakkan tindakan penguatkuasaan termasuk denda lewat, tunggakan serta perampasan tanah.
Dalam pada itu Mohd Faizal memaklumkan, sehingga 31 Disember lalu, kutipan cukai tanah bagi tahun semasa telah mencapai RM133.29 juta atau 100.64 peratus berbanding sasaran RM132.45juta.
"Bagi keseluruhan hasil tanah pula, sejumlah RM476.02 juta atau 121.08 peratus berjaya dikutip berbanding sasaran RM393.14 juta.
"Pencapaian tersebut mencerminkan komitmen tinggi PTGNS serta semua pejabat daerah dan tanah dalam mencapai sasaran yang ditetapkan," katanya
Terdahulu beliau menyampaikan cenderahati kepada 15 pembayar cukai terawal di kaunter PTGNS.
Ringkasan AI
- Kira-kira 30,000 pemilik akaun di Negeri Sembilan belum menjelaskan tunggakan cukai tanah dan cukai petak berjumlah RM5 juta
- Seremban mencatat jumlah tunggakan tertinggi
- Pemilik dengan tunggakan melebihi lima tahun mungkin menghadapi tindakan merampas tanah
- Pemilik tanah industri atau premis perniagaan terlibat kebanyakannya
- Pemilik boleh menjelaskan tunggakan secara ansuran dan boleh rayu kurangkan kadar tunggakan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

