Jangan risau, musang king tetap 'king'

Warna isi musang king yang kuning menjadi kegilaan peminat raja buah berkenaan. Gambar kecil: Zain
Warna isi musang king yang kuning menjadi kegilaan peminat raja buah berkenaan. Gambar kecil: Zain
A
A
A

SEREMBAN – Meskipun harga durian musang king ketika ini mengalami kejatuhan, pekebun dan pengusaha tidak perlu bimbang tentang masa depan raja buah berkenaan kerana ia masih mampu memberikan keuntungan setiap kali musim.

Pengerusi Persatuan Penanam Durian Negeri Sembilan, Datuk Zain Maarof berkata, penurunan harga yang berlaku ketika ini disebabkan lambakan durian terbabit terutama bagi gred C, namun ia hanyalah bersifat sementara.

"Harga pasaran musang king bagi gred A masih stabil walaupun mencatatkan sedikit penurunan.

“Jadi, pekebun yang tanam musang king tidak perlu risau atau anggap mereka akan alami kerugian pada masa hadapan sebab durian ini masih mempunyai nilai yang tinggi dan dapat permintaan besar terutama dari negara China,” katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Menurutnya, harga musang king kebiasaannya dijual sekitar RM30 sekilogram ke atas bergantung kepada gred, namun ketika ini ada yang dijual serendah RM10 sekilogram.

Justeru katanya, situasi berkenaan merupakan peluang terbaik kepada peminat durian untuk menikmati raja buah itu pada harga rendah yang jarang diperoleh.

“Jika nak beli, inilah masanya kerana musim durian tidak lama lagi akan berakhir dan harga mungkin naik semula,” katanya.

Sementara itu, seorang peniaga durian, Roni Azlan Aznir 42, berkata, bukan kali pertama harga durian berkenaan mengalami kejatuhan dan sememangnya ini masa yang dinanti-nantikan ramai pembeli.

Artikel Berkaitan:

Roni Azlan menunjukkan antara musang king dijual di gerainya di Seremban
Roni Azlan menunjukkan antara musang king dijual di gerainya di Seremban

Ujarnya, dia menjual musang king serendah RM15 sekilogram, namun saiz buahnya lebih kecil berbanding yang dijual pada harga RM26 sekilogram.

"Tapi pembeli tak perlu risau sebab rasa tetap sama dan warnanya tetap kuning.

"Kalau nak makan musang king, inilah masanya kerana harganya separuh daripada biasa, berbanding Jun tahun lalu harganya lebih RM40 sekilogram," katanya.

 

Ringkasan AI

  • Harga durian Musang King mengalami kejatuhan namun masih memberikan keuntungan
  • Penurunan harga disebabkan lambakan durian gred C yang bersifat sementara
  • Harga Musang King gred A masih stabil dengan sedikit penurunan
  • Situasi ini merupakan peluang bagi peminat durian menikmati pada harga rendah
  • Musim durian berakhir tidak lama lagi dan harga mungkin naik semula

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!