Pengarah agensi kerajaan ditahan salah guna jawatan

Dua lelaki ditahan SPRM disyaki salah guna kuasa.
Dua lelaki ditahan SPRM disyaki salah guna kuasa.
A
A
A

SEREMBAN - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan dua individu termasuk seorang penjawat awam berpangkat pengarah kerana disyaki menyalahgunakan jawatan untuk mendapatkan kontrak kerja-kerja berkaitan sebuah agensi kerajaan.

Sebelum itu, dua lelaki itu hadir ke Mahkamah Majistret Seremban di sini kira-kira jam 9 pagi Rabu bagi proses permohonan reman dengan diiringi pegawai SPRM.

Mereka direman selama tiga hari bagi membantu siasatan kes sehingga 18 Ogos ini.

Sumber berkata, kedua-dua suspek dipercayai berusia antara 20-an hingga 40-an itu ditahan antara kira-kira jam 3 dan 5 petang ketika diminta hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Negeri Sembilan.

"Suspek pertama berjawatan pengarah berusia 40-an dipercayai menyalahgunakan jawatannya untuk mendapatkan suapan dengan melantik syarikat-syarikat yang beliau mempunyai kepentingan.

"Ia bagi mendapatkan kerja-kerja di sebuah agensi kerajaan di cawangan Negeri Sembilan dan Melaka membabitkan jumlah keseluruhan lebih RM200,000," katanya pada Rabu.

Katanya, suspek dipercayai bersubahat dengan seorang lelaki berusia 20-an dan perbuatan itu dilakukan pada tahun 2019 hingga 2020.

Sementara itu, Pengarah SPRM Negeri Sembilan, Awgkok Ahmad Taufik Putra Awg Ismail mengesahkan tangkapan tersebut dan berkata kes disiasat di bawah Seksyen 23, Akta SPRM 2009.

Artikel Berkaitan: