Bosan mengadap jem, alasan guna lorong kecemasan

SEREMBAN - Bosan berada dalam kesesakan jalan raya dan mahu cepat sampai ke destinasi antara alasan paling kerap diberikan oleh kebanyakan 'pesalah' lorong kecemasan apabila ditahan pihak berkuasa.
Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Sembilan, Hanif Yusabra Yusuf berkata, kebanyakan mereka sedar perbuatan itu merupakan satu kesalahan dan berdasarkan pemerhatian, rata-ratanya adalah pemandu kenderaan mewah.
"Setakat ini tiada lagi yang beri alasan kerana kecemasan dan saya boleh katakan kebanyakannya adalah pemandu kenderaan mewah.

"Mereka ini tahu penggunaan lorong kecemasan adalah satu kesalahan, tapi tidak pernah ditahan sebelum ini," katanya dalam sidang akhbar di Hentian Rehat dan Rawat Seremban arah utara pada Ahad.
Menurut beliau, sepanjang tahun lalu, sebanyak 2,288 kes penyalahgunaan lorong kecemasan direkodkan.
Jelasnya, sepanjang tempoh penguatkuasaan sempena cuti persekolahan bermula 20 Disember lalu sehingga kini, sebanyak 325 notis di bawah Kaedah 53(1), Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 telah dikeluarkan.
"Statistik ini jelas menunjukkan bahawa tahap kesedaran dan pematuhan terhadap peraturan ini masih perlu dipertingkatkan.

"Bagi kesalahan ini, pemandu boleh dikenakan kompaun sebanyak RM300 atau pendakwaan di mahkamah, sekiranya disabitkan kesalahan," katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa penyalahgunaan lorong kecemasan merupakan satu kesalahan serius kerana lorong tersebut disediakan khusus untuk kegunaan kenderaan penyelamat dan situasi kecemasan.
Tambah Hanif Yusabra, perbuatan itu bukan sahaja melanggar undang-undang, malah boleh menghalang pergerakan ambulans, jentera bomba dan pasukan keselamatan, sekali gus mengancam nyawa.
"Kita akan meneruskan penguatkuasaan secara berterusan, bersasar dan berfokus, khususnya di laluan utama serta kawasan berisiko tinggi.
"Kita tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang didapati melakukan kesalahan ini," ujarnya.
Ringkasan AI
- Bosan tersangkut dalam kesesakan jalan raya antara alasan utama penggunaan lorong kecemasan
- Kebanyakan pemandu yang dikenal pasti adalah pemandu kenderaan mewah
- Sebanyak 2,288 kes penyalahgunaan lorong kecemasan direkodkan tahun lalu
- Pemandu boleh dikenakan kompaun RM300 atau pendakwaan mahkamah
- Penyalahgunaan lorong kecemasan menghalang pergerakan ambulans dan mengancam nyawa
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

