Kerajaan sedang bongkar 'emas' di Kampung Baru

Pakar Perunding Hartanah, Ishak Ismail pada sesi Wacana Kampung Baru:Kekal atau Dibangunkan? hari ini.- Foto Zahid Izzani
Pakar Perunding Hartanah, Ishak Ismail pada sesi Wacana Kampung Baru:Kekal atau Dibangunkan? hari ini.- Foto Zahid Izzani
A
A
A

SHAH ALAM - Penduduk Kampung Baru perlu mengambil peluang untuk terlibat dalam arus pemodenan melalui pembangunan semula penempatan itu.

Perunding Hartanah, Ishak Ismail berkata, Kampung Baru merupakan aset negara terutama orang Melayu yang menjadi tarikan pelancong.

Menurutnya, pembangunan semula akan menjadikan Kampung Baru sebagai ikon unik dan rujukan pusat kecemerlangan ketamadunan Melayu di nusantara.

"Itulah 'emas' yang menjadi satu tarikan pelancong ke Kuala Lumpur. Mustahak untuk bongkar nilai hartanah yang terbenam di kawasan ini.

"Ia akan memberi impak nilai pendapatan orang Melayu. Ini yang sedang dibongkar untuk digilap 'emas' itu agar terpancar bercahaya yang menguntungkan dan kekal sepanjang zaman.

"Orang Melayu boleh ada aset bernilai dan menjadikan tempat ini sebagai tempat perniagaan dengan nilai jauh lebih baik daripada sekarang," katanya selaku panel pada program Wacana Sinar Harian Siri 131 bertajuk Kampung Baru: Kekal Atau Dibangunkan? di Dewan Karangkraf di sini hari ini.

Wacana yang menampilkan personaliti TV, Ahmad Fedtri Yahya sebagai moderator itu turut dibarisi panel, Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad dan Pengarah Kanan, Bahagian Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH), Abdul Razak Yusak.

Ishak berkata, cadangan kerajaan membangunkan Kampung Baru adalah sangat serius dan bersifat ikhlas bagi memberi peluang orang Melayu menggandakan potensi nilai hartanah.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, peniaga di kawasan berkenaan mampu meningkatkan pendapatan sehingga 10 kali ganda berbanding berniaga di tepi jalan seperti hari ini.

"Di Kampung Baru sekarang keadaan sesak, longkang dan infrastruktur tidak terurus. Ini mengganggu sekiranya orang Melayu nak buat perniagaan bertaraf empat hingga lima bintang.

"Ini (pembangunan semula) merupakan satu usaha jangka panjang kepada usahawan," katanya.