PATI terkedu tapak ekspo diserbu

Sebahagian daripada PATI yang ditahan sempena OP Bersepadu, kelmarin. FOTO: JIM TERENGGANU
A
A

KUALA TERENGGANU - Sekumpulan peniaga warga asing terpaksa akur dan menyerah diri selepas tapak perniagaan mereka dwi Tapak Ekspo, Dataran Shahbandar diserbu sepasukan pegawai dan anggota penguat kuasa Jabatan Imigresen.

Ketua Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Imigresen Terengganu, Ahmad Salihin Salleh berkata, sebanyak lima gerai dikesan milik warga asing melalui Ops Bersepadu yang dilakukan bermula jam 2 petang semalam.

Menurutnya, antara yang diserbu ialah sebuah kanopi menjual karpet, sebuah kedai makan, gerai menjual minuman, gerai makanan ala Thai dan gerai menjual kerongsang.

"Ketika serbuan majoriti daripada mereka sedang sibuk berniaga dan hanya mampu menyerah diri ketika pemeriksaan dilakukan," katanya ketika ditemui di pejabatnya, di sini hari ini.

Anggota Penguatkuasa bertugas sedang melakukan pemeriksan ke atas salah seorang warga asing yang ditahan di rumah kongsi di tapak pembinaan di sekitar Manir, di sini, kelmarin. FOTO: JIM TERENGGANU
Anggota Penguatkuasa bertugas sedang melakukan pemeriksan ke atas salah seorang warga asing yang ditahan di rumah kongsi di tapak pembinaan di sekitar Manir, di sini, kelmarin. FOTO: JIM TERENGGANU

Ahmad Salihin berkata, selain tapak eskpo, pihaknya turut menyerbu tiga tapak projek pembinaan di sekitar Manir, dua restoran di bandar raya itu serta sebuah kedai welding di Manir, di sini.

"Melalui serbuan itu seramai 110 warga asing diperiksa dan daripada jumlah itu seramai 49 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan selepas dikesan melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen.

"Selain itu, kami mengeluarkan borang 29 (saman saksi) kepada empat majikan untuk mereka hadir ke pejabat Imigresen bagi membantu siasatan," katanya.

Beliau berkata, kesemua PATI yang ditahan didapati tiada dokumen sah, tinggal lebih tempoh dan menyalahgunakan pas lawatan sosial.