Beri ruang kerajaan selesaikan isu Kampung Baru

Erwan
Erwan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Persatuan Pedagang dan Peniaga Kebangsaan Malaysia (Perdana) meminta semua pihak memberikan ruang kepada kerajaan menjalankan kajian terperinci berhubung tawaran harga pembelian tanah Kampung Baru.

Presidennya, Datuk Seri Erwan Tahir berkata, isu tersebut menjadi perdebatan banyak pihak termasuk ahli politik dan netizen di media sosial walaupun sehingga kini belum ada sebarang keputusan mengenainya dimuktamadkan.

Menurutnya, cadangan pihak tertentu menimbulkan isu harga yang patut ditawarkan antara RM2,000 hingga RM3,000 kaki persegi adalah tidak munasabah.

"Perbandingan antara tanah di Kampung Baru dan segi tiga emas di Bukit Bintang serta KLCC adalah amat bercanggah dengan status pemilikannya.

"Status pegangan bebas akan menyumbang kepada peningkatan harga dan tarikan kepada pelabur luar serta pembeli yang sanggup membeli dengan kadar mewah," katanya dalam satu kenyataan.

Erwan berkata, harga yang tinggi itu tidak mempunyai sekatan sebaliknya bergantung dengan tawaran dan permintaan sehingga boleh mencecah sehingga RM3,500 satu kaki persegi.

"Berbeza situasi di Kampung Baru yang status tanah itu mempunyai sekatan pegangan hanya kepada orang Melayu. Kementerian pula terikat dengan pentaksiran dan penilaian oleh Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta.

"Bermakna apabila Kampung Baru dibangunkan, sebarang aktiviti perolehan dan penawaran perlu mengekalkan pegangan kepada orang Melayu," katanya.

Artikel Berkaitan:

Katanya, semua pihak perlu memberikan sokongan ke atas perancangan rapi oleh kerajaan di bawah Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP).

"KWP masih membuka rundingan bagi mendapatkan input dari semua pihak berkepentingan termasuk pertimbangan menaikkan kadar tawaran pembelian.

"Sikap segelintir pihak yang menuding jari tanpa menyumbang penyelesaian kepada pihak kerajaan hanya akan memburukkan keadaan dan melambatkan proses pembangunan," katanya.

Beliau turut menasihatkan agar konteks kemajuan pembangunan diutamakan tanpa mencampur aduk kepentingan politik.

"Jangan jadi api dalam sekam dengan merencatkan usaha murni kerajaan membangunkan Kampung Baru hanya untuk meraih kepentingan politik sempit.

"Perlu diingatkan KWP menawarkan harga maksimum RM850 sekaki persegi berbanding kerajaan terdahulu hanya RM350 bagi keluasan sama. Perbandingan mudah ini menampakkan kesungguhan kerajaan memastikan nasib penduduk Kampung Baru terbela," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: RM2,000 bagi pembelian tanah Kampung Baru cadangan Dr Mahathir

Kerajaan digesa runding semula tawaran harga tanah Kampung Baru

Kampung Baru: Penduduk setuju jual, jika kerajaan tawar harga tinggi