Kampung Baru: Penduduk setuju jual, jika kerajaan tawar harga tinggi

Kampung baru. Gambar kecil: ZAINAL, MOHAMMAD FADZIL
Kampung baru. Gambar kecil: ZAINAL, MOHAMMAD FADZIL
A
A
A

KUALA LUMPUR - Isu pembangunan Kampung Baru mampu diselesaikan dalam kadar segera sekiranya tuntutan pemilik supaya kerajaan menaikkan kadar tawaran pembelian tanah diluluskan.

Pengerusi Persatuan Penduduk Kampung Pindah, Zainal Fredrick Zakaria berkata, beliau meletakkan keyakinan sekurang-kurangnya 50 peratus penduduk Kampung Baru akan bersetuju dengan cadangan pembelian itu sekiranya harga tawaran dinaikkan antara RM1,300 hingga RM1,500 satu kaki persegi.

Menurutnya, cadangan itu munasabah disebabkan kedudukan lokasi Kampung Baru di tengah bandar selain kadar pengambilan tanah penduduk Kampung Baru tahun lepas bagi projek stesen MRT adalah RM1, 300 setiap kaki persegi.

"Harga RM850 dianggap terlalu rendah dengan alasan statusnya milik orang Melayu sedangkan apabila sudah dibangunkan kelak, hasilnya lumayan. Pastinya pemaju dan kontraktor akan mengejar keuntungan.

"Kami tak menghalang pembangunan, cuma kami mahukan hak kami sebagai pemilik dan pewaris. Inilah masanya kami menyuarakan pandangan kami, selepas menjualnya kami sudah tidak mempunyai sebarang kepentingan.

"Daripada menjual dengan harga tidak setimpal, lebih baik kami bangunkan sendiri tanah kami, kami ada pilihan lain untuk bekerjasama dengan pemaju luar yang menawarkan pilihan lebih baik," katanya.

Sementara itu, pemilik tanah Kampung Baru, Mohammad Fadzil Alias, 53, berkata, kerajaan mampu menawarkan harga lebih tinggi kepada pemilik tanah jika peruntukan pembeliannya dinaikkan kepada RM10 bilion.

"Menteri kata peruntukan pembelian adalah antara RM6 bilion sehingga RM10 bilion tapi kos keseluruhan bagi tawaran RM850 satu kaki persegi adalah sebanyak RM5.7 bilion selepas didarab dengan keluasan 62 hektar yang terlibat dengan projek pembangunan. Ia turut dikira dengan kos melibatkan struktur binaan atas tanah.

Artikel Berkaitan:

"Kadar itu boleh dinaikkan sehingga RM1,300 kaki persegi jika kos ambil alih tanah itu dinaikkan kepada RM10 bilion. Kerajaan masih mampu mengaut keuntungan melalui pembangunan berdasarkan nisbah harga tanah kepada Nilai Pembangunan Kasar (GDV) hanyalah 16.7 peratus, " katanya.

Jelasnya, walaupun tawaran RM6 juta bagi 8,000 kaki persegi dianggap banyak oleh menteri namun ia hanya sebagai penglipur lara.

"8,000 kaki persegi dimaksudkan adalah purata bagi satu lot, namun hakikatnya kebanyakan lot di Kampung Pindah di sini adalah sekitar 4,000 hingga 5,000 kaki persegi sahaja.

"Jika dibahagi dengan waris yang lebih sepuluh orang jumlahnya tidak sebanyak mana malah nak beli semula rumah di Kampung Baru juga mungkin tak cukup," katanya.

Pada sesi Town Hall Pembangunan Kampung Baru Sabtu lalu, Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad mengumumkan tawaran kerajaan sebanyak 850 setiap kaki persegi yang tidak dipersetujui pemilik tanah itu.

Susulan itu, Khalid menjelaskan bakal memanjangkan isu tawaran harga itu kepada Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad untuk perbincangan selanjutnya.

ARTIKEL BERKAITAN Isu harga tanah Kampung Baru akan dibawa kepada PM: Khalid