RM2,000 bagi pembelian tanah Kampung Baru cadangan Dr Mahathir

Suasana di Kampung Baru berlatarbelakangkan bandaraya Kuala Lumpur. -Foto Sinar Harian ZAHID IZZANI
Suasana di Kampung Baru berlatarbelakangkan bandaraya Kuala Lumpur. -Foto Sinar Harian ZAHID IZZANI
A
A
A

KUALA LUMPUR - Cadangan nilai tanah Kampung Baru bagi RM2,000 satu kaki persegi adalah mengikut saranan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pada 2 Mac 2018.

Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) dalam satu kenyataan menjelaskan, tidak timbul isu kesediaan DPMM membeli tanah Kampung Baru dengan kadar itu seperti kenyataan yang dikeluarkan Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad bertarikh 27 September lalu.

Kenyataan DPMM menyebut, kadar itu adalah pandangan DPMM sebagai menjawab persoalan media berhubung tawaran RM850 satu kaki persegi oleh kerajaan.

"Dr Mahathir sewaktu majlis kenduri dan doa selamat bersama penduduk Kampung Baru memaklumkan nilai tanah itu sepatutnya sekurang-kurangnya RM2,000 kaki persegi.

"DPMM menyokong cadangan itu dan berusaha menterjemahkannya demi pewarisan tanah Kampung Baru dalam kepunyaan orang Melayu," memetik kenyataan itu.

Kenyataan sama menyebut, DPMM turut mencadangkan kaedah alternatif secara pajakan digunapakai bagi menyelesaikan kemelut tersebut.

ARTIKEL BERKAITAN: Isu Kampung Baru: DPMM gesa beli tanah RM2,000 satu kaki persegi

"Namun perkara itu tidak langsung disentuh Khalid. Bagaimanapun DPMM menerima pelawaan Khalid untuk bekerjasama dengan kementerian, Perbadanan Kampung Baru, pemilik dan pewaris untuk mencari jalan penyelesaian terbaik.

Artikel Berkaitan:

"Diharapkan dengan penglibatan DPMM dapat membantu merungkai kemelut dan mengatasi cabaran dihadapi pihak berkepentingan isu Kampung Baru," katanya.

Khalid sebelum ini mengalu-alukan usaha DPMM agar tanah di Kampung Baru dibeli dengan harga RM2,000 sekaki persegi dan yakin kemampuan organisasi itu untuk mendapatkan sokongan kewangan yang diperlukan bagi menjayakan pembelian tersebut.

Khalid memberikan jaminan kementeriannya akan memberikan kerjasama sepenuhnya sekiranya DPMM bersetuju untuk membeli tanah itu dengan harga RM2,000 sekaki persegi.