Pakar optimis AUKU boleh dimansuh 2020

Dr Shad Saleem. - Foto The Star Online
Dr Shad Saleem. - Foto The Star Online
A
A
A

SHAH ALAM - Pakar undang-undang, Profesor Dr Shad Saleem Faruqi optimis Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971 boleh dimansuhkan dan digantikan dengan satu undang-undang yang relevan pada tahun 2020, sebagaimana disasarkan oleh Kementerian Pendidikan.

Beliau yakin ia boleh menjadi kenyataan dalam dua tahun tanpa menjangkaui tempoh mandat lima tahun pentadbiran Kerajaan PH sekiranya kerajaan memberi keutamaan sebagaimana telah dimaklumkan sebelum ini.

Selain itu kata beliau, pihak kerajaan terutama Kementerian Pendidikan hanya perlu mendapatkan masa yang sesuatu daripada Parlimen.

"Saya yakin ia (pemansuhan AUKU) boleh dilakukan seperti dirancang, dengan syarat ia mendapat keutamaan dan kita dapatkan masa Parlimen untuk pembentangan. Ini isu keutamaan," kata beliau yang merupakan salah seorang anggota Jawatankuasa Teknikal yang ditubuhkan oleh Kementerian Pendidikan untuk mengkaji semula AUKU lima bulan yang lalu.

Beliau mengulas satu laporan portal yang memetik Prof Madya Faisal S. Hazis, anggota Gerakan Akademik Malaysia (Gerak) berkata usaha untuk memansuhkan AUKU kemungkinan akan mengambil masa lebih daripada tempoh mandat yang ada bagi kerajaan Pakatan Harapan.

Kata Faisal, beliau percaya usaha itu akan mengambil masa sekurang-kurangnya enam setengah tahun memandangkan terdapat sebanyak 117 undang-undang yang perlu dipinda, digubal dan dimansuhkan.

“Secara purata Parlimen bersidang tiga kali setahun, jadi ia akan mengambil enam setengah tahun sekiranya enam rang undang-undang hendak dibahaskan," kata beliau pada satu forum di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Parlimen telah meluluskan pindaan AUKU bagi membolehkan Seksyen 15(2)(c) yang mengenakan sekatan kepada mahasiswa untuk menyertai dalam politik di kampus dimansuhkan. Dewan Rakyat meluluskannya pada 10 Disember manakala Dewan Negara pada 20 Disember lalu.

Artikel Berkaitan:

Pada masa yang sama Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik menyatakan komitmen akta itu akan dimansuhkan pada tahun 2020 selari dengan komitmen manifesto Pakatan Harapan manakala pemansuhan Seksyen 15(2)(c) merupakan langkah awal ke arah itu

Dr Shad Saleem yang pernah dilantik sebagai anggota Jawatankuasa Teknikal semasa pindaan AUKU pada tahun 2009 dan 2012 berkata, pengalaman masa lalu menunjukkan undang-undang ini boleh dipinda dalam waktu yang singkat.

"AUKU pernah dibahaskan dan dipinda dalam masa satu dua hari. Dengan cepat. Tiada masalah. Pernah disaksikan sebelum ini. Kita hanya perlu mencari masa yang sesuai. Sebenarnya boleh.

"Jadi saya rasa tidak ada masalah jika hendak dibawa ke Parlimen sebagaimana telah dirancang (diumumkan oleh Menteri Pendidikan). Walaupun di Malaysia Parlimen bersidang antara 70 hingga 80 hari setahun berbanding di United Kingdom selama 150 hari dalam setahun, saya yakin akta baharu boleh dibawa seperti dirancang," kata beliau.