X

Kindly register in order to view this article
!

Budak 7 tahun cedera diserang kera

Nor Damia Maisara yang cedera dibawa ke hospital menerima beberapa jahitan pada lengan dan anggota badan lain. - Foto FB Kak Ton Pattani
A
A

KOTA BHARU - [DIKEMASKINI] Seorang kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun cedera di kepala dan beberapa anggota badan selepas diserang seekor kera di Kampung Padang Mandor, Tumpat semalam.

Dalam kejadian jam 6.50 petang, mangsa, Nor Damia Maisara Muhamad Yaki diserang dua kali oleh kera jantan.

Nor Damia berkata, ketika itu dia bersama adiknya, Nur Zara Fatia, 6, pulang dari rumah jiran tanpa menyedari haiwan tersebut yang diikat pada sebatang pokok.

“Ketika itu kami berlari-lari dan secara tiba-tiba kera yang berada di belakang adik terlucut dari tali, mungkin kerana terkejut lalu menerkam dan menggigit betis kanan saya.

“Saya menangis kesakitan dan ketakutan sambil menjerit minta tolong.

Ketika itu saya juga cuba lepaskan diri dan menarik kera itu,” katanya kepada pemberita di Hospital Raja Perempuan Zainab II di sini hari ini.

Menurutnya, dalam keadaan kelam kabut itu dia mencampak kera tersebut namun haiwan terbabit makin agresif dan sekali lagi menyerangnya.

“Saya diserang sekali lagi kali ini kera itu menggigit lengan kanan sebelum beralih ke kiri dan bahagian kepala menyebabkan saya terjatuh.

“Saya bergelut sebelum dapat melepaskan diri lalu berlari dengan keadaan berlumuran darah,” katanya.

Nor Damia berkata, adiknya yang ketakutan melihat keadaannya berlumuran darah segera berlari ke rumah mendapatkan bapa mereka.

Sementara itu, bapa mereka, Muhamad Yaki Ariffin, 35, berkata, dia terdengar suara anaknya menjerit meminta tolong.

Menurutnya, ketika itu dia lihat anaknya sudah terbaring dan kelihatan lemah.

“Saya terus bawa Damia ke Hospital Tumpat sebelum dirujuk ke HRPZ II.

"Laporan sudah dibuat kepada pihak Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) untuk tindakan lanjut,” katanya.

Katanya, Damia baharu selesai menjalani pembedahan bagi menjahit luka kecederaan di bahagian lengan kanannya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus