Semua sekolah di Perak ditutup serta-merta jika IPU lebih 200

Abdul Aziz (kanan) menunjukkan buku Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan ketika sidang media mengenai situasi semasa jerebu di Perak hari ini.
Abdul Aziz (kanan) menunjukkan buku Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan ketika sidang media mengenai situasi semasa jerebu di Perak hari ini.
A
A
A

IPOH - Semua sekolah di Perak boleh menutup sesi persekolahan mereka serta merta jika bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) melebihi 200.

Exco Pendidikan, Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Perak, Dr Abdul Aziz Bari berkata, sekolah-sekolah yang ditutup hanya perlu memaklumkan kepada Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) masing-masing.

Menurutnya, jumlah sekolah yang ditutup akibat jerebu di Perak terus meningkat kepada 303 melibatkan empat daerah iaitu Manjung, Hilir Perak, Bagan Datuk dan Perak Tengah sehingga tengah hari tadi.

"Penutupan sekolah itu bertujuan mengurangkan pendedahan seramai 85,967 murid terhadap pencemaran udara yang berlaku.

"Sekiranya IPU ini kekal mencecah 200 secara berterusan, sekolah-sekolah yang terlibat akan ditutup sehingga keadaan baik.

"Jadi saya minta orang ramai mengikut panduan tindakan semasa jerebu yang diumumkan oleh Kementerian Kesihatan bagi mengurangkan risiko masalah kesihatan," katanya kepada pemberita ketika mengumumkan status semasa kualiti udara dan jerebu di negeri Perak, di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini hari ini.

Hadir sama pada sidang media itu, Exco Pembangunan Belia dan Sukan Perak, Howard Lee dan Pengarah Jabatan Alam Sekitar Perak, Norazizi Adinan.

Sehingga jam 4 petang tadi, Taiping mencatata bacaan sangat tidak sihat iaitu 203 manakala empat lagi kawasan iaitu di Tasek Ipoh, Pegoh Ipoh, Seri Manjung dan Tanjung Malim mencatat bacaan tidak sihat.

Artikel Berkaitan:

Sebelum ini, kawasan Seri Manjung mencatat bacaan sangat tidak sihat sehingga jam 5 pagi tadi, tetapi bacaan tersebut memperlihatkan penurunan setiap jam.

Dalam pada itu, Abdul Aziz turut meminta orang ramai sentiasa memberikan perhatian terhadap pengumuman mengenai situasi terkini jerebu melalui saluran maklumat yang disediakan.

Sementara itu, dalam sidang media berasingan, beliau turut mengesahkan semua penerbangan di Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah di sini dibatalkan kerana jerebu.