5 juta kg bijirin jagung dari Brazil dirampas

Bijiran jagung yang dibawa menggunakan kapal kargo dan ditahan di pintu masuk Pelabuhan Dermaga Air Dalam (DAD).
Bijiran jagung yang dibawa menggunakan kapal kargo dan ditahan di pintu masuk Pelabuhan Dermaga Air Dalam (DAD).
A
A
A

BUTTERWORTH- Jabatan Perkhidmatan Kuarantin & Pemeriksaan Malaysia (Maqis) Pulau Pinang menggagalkan cubaan membawa masuk produk keluaran pertanian Brazil ke negara ini, semalam.

Pengarahnya, Zarina Ramli berkata, bijirin jagung atau Brazilian Corn itu dibawa dari negara tersebut dan didapati tidak mengikut syarat Import Permit (IP).

Menurutnya, Brazilian Corn seberat 5 juta kilogram (kg) yang dibawa menggunakan kapal kargo itu dirampas di pintu masuk Pelabuhan Dermaga Air Dalam (DAD) di sini.

"Hasil pemeriksaan, kita menahan 5 juta kg bijirin jagung (Brazilian Corn) yang dianggarkan bernilai lebih RM4 juta. Sehubungan itu, Maqis telah mengeluarkan kompaun RM50,000 kepada pengimport.

"Kita juga memberi peringatan kepada pengimport supaya mematuhi syarat pengimportan. Perbuatan mengimport keluaran pertanian tanpa mematuhi syarat import seperti yang dinyatakan dalam permit, lesen dan perakuan yang sah adalah satu kesalahan," katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Tambahnya, pengimport disyaki melakukan kesalahan mengikut Seksyen 15(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin Dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta728).

"Jika sabit kesalahan, pengimport boleh dihukum mengikut Seksyen 15(2) akta sama iaitu denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya sekali.

"Maqis sentiasa komited melakukan pemeriksaan di semua pintu masuk negara bagi memastikan keluaran pertanian yang masuk ke negara ini mematuhi syarat dan peraturan yang ditetapkan bagi menjamin kualiti selain selamat dimakan oleh rakyat Malaysia," katanya.

Artikel Berkaitan: