1MDB: Wang RM369,662 Naza Quest Auto, MP Maran jadi hak kerajaan

A
A
A

KUALA LUMPUR - Wang berjumlah RM369,662 yang dibekukan daripada akaun bank milik Naza Quest Auto Sdn Bhd dan Ahli Parlimen Maran, Datuk Seri Dr Ismail Abd Muttalib berhubung penyiasatan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) kini menjadi harta Kerajaan Malaysia.

Jumlah wang yang dipohon kerajaan untuk dilucut hak daripada Naza Quest Auto ialah RM269,662 dan Ismail berjumlah RM100,000.

Peguam, Md Yunos Sharif yang mewakili Naza Quest Auto memberitahu Hakim Mahkamah Tinggi, Mohd Nazlan Mohd Ghazali bahawa anak guamnya yang merupakan responden dalam permohonan itu bersetuju wang RM269,662 dalam akaun semasa Islamic Maybank atas nama responden dilucut hak kepada Kerajaan Malaysia.

Timbalan Pendakwa Raya, Allan Suman Pillay dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkata, pihaknya akan menarik balik permohonan lucut hak itu selepas SPRM memperoleh wang berkenaan daripada Naza Quest Auto.

Bagi Ismail pula, Allan berkata, persetujuan beliau (Ismail) untuk menyerahkan wang itu dikemukakan melalui surat bertarikh 24 Jun 2019.

"Yang Arif, dalam surat pada 24 Jun 2019, Ismail bersetuju untuk menyerahkan wang itu kepada Kerajaan Malaysia dan responden juga memohon pengecualian tidak hadir di mahkamah.

Oleh itu, saya memohon wang RM100,000 itu dilucutkan hak kepada Kerajaan Malaysia," katanya.

Hakim Mohd Nazlan membenarkan wang RM269,662 daripada akaun Naza Quest Auto dan RM100,000 daripada akaun Ismail dilucutkan hak kepada Kerajaan Malaysia.

Artikel Berkaitan:

Bagi tiga lagi entiti iaitu, Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), UMNO Kedah dan Habib Jewels Sdn Bhd, Hakim Mohd Nazlan menetapkan masing-masing pada 22 November, 13 November dan 5 November untuk mendengar permohonan lucut hak oleh pendakwaan terhadap harta ketiga-tiga responden.

"Pihak pendakwaan sudah mewartakan untuk kehadiran pihak ketiga pada hari ini. Bagaimanapun tiada pihak ketiga yang hadir. Oleh itu, kami memohon supaya mahkamah menetapkan tarikh perbicaraan," katanya.

Sehingga hari ini, sebanyak lapan daripada 41 entiti telah menyerahkan wang daripada akaun masing-masing kepada Kerajaan Malaysia.

Permohonan melucut hak itu dibuat pendakwaan mengikut Seksyen 56 (1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

Pihak pendakwaan juga memfailkan permohonan pewartaan notis bagi pihak ketiga yang mempunyai kepentingan dalam harta yang disita untuk hadir ke mahkamah dan menyatakan tuntutan mengikut Seksyen 56(1) dan 61(2) AMLATFPUAA. - Bernama