Maqis Kedah rampas mangga, halia diimport tanpa permit

A
A
A

BUKIT KAYU HITAM – Jabatan Perkhidmatan Kuarantin Dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) Kedah merampas 350 kilogram (kg) buah mangga dan 100kg halia yang cuba dibawa masuk ke negara ini secara tidak sah.

Rampasan dalam operasi jam 11 malam kelmarin itu dibuat di laluan kargo di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) di sini.

Maqis dalam satu kenyataan memaklumkan, pengimport tidak memiliki permit import dan sijil fitosanitasi daripada negara asal serta semua keluaran pertanian itu dirampas untuk tindakan lanjut.

Menurut kenyataan itu, pihaknya mahu mengawal kemasukan perosak seperti serangga perosak buah dan penyakit yang boleh menjejaskan industri pertanian dalam negara jika tidak dikawal dengan sebaiknya.

"Pihak Maqis sentiasa menjalankan pemeriksaan dan penguatkuasaan di semua pintu masuk negara bagi memastikan komoditi haiwan, pertanian, ikan yang masuk ke dalam negara mematuhi syarat dan peraturan ditetapkan oleh kerajaan bagi memastikan keselamatan makanan terjamin dan selamat dimakan oleh rakyat Malaysia.

"Jika disabitkan kesalahan, pengimport boleh didakwa di bawah Seksyen 11(1), Akta Perkhidmatan Kuarantin Dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728] yang boleh dihukum di bawah Seksyen 11(3), akta yang sama iaitu jika disabit kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya sekali," menurut kenyataan itu.

Akta 728 diguna pakai bagi memastikan kawalan penyakit haiwan/ikan/tumbuhan dan jaminan keselamatan makanan mematuhi aspek kesihatan manusia serta dapat mengawal kemasukan perosak berbahaya yang boleh mengancam industri pertanian negara.

Artikel Berkaitan: