Maqis rampas 1.1 tan pokok hiasan tanpa permit

Pokok hiasan tanpa permit yang dirampas di Pelabuhan Tanjung Pelepas.
Pokok hiasan tanpa permit yang dirampas di Pelabuhan Tanjung Pelepas.
A
A
A

ISKANDAR PUTERI - Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) merampas 17 jenis tanaman hiasan yang dibawa masuk tanpa permit dari China di Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) di sini pada Selasa.

Maqis dalam kenyataan pada Rabu memaklumkan, kesemua jenis tanaman hiasan dianggarkan seberat 1.1 tan itu bernilai RM132,000.

"Rampasan dibuat hasil daripada pemeriksaan yang dijalankan oleh pegawai penguasa pada jam 11.18 pagi Selasa.

"Hasil pemeriksaan mendapati pihak pengimport gagal mengemukakan import permit Maqis yang sah," kata kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, kesemua barang rampasan ditahan untuk tindakan lanjut.

"Perbuatan mengimport apa-apa jenis keluaran pertanian tanpa import permit Maqis, menjadi suatu kesalahan di bawah Seksyen 11(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 11(1) Akta yang sama.

"Jika disabit kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara maksimum enam tahun atau kedua-duanya sekali," katanya.