Fitnah terhadap komuniti Muslim

A
A

PENGUMUMAN Jemaah Kabinet menolak tindakan memboikot barangan keluaran pengusaha bukan Islam dan menyifatkan kempen itu sebagai tidak wajar adalah sangat menghairankan.

Ini menunjukkan kerajaan hari ini telah jauh daripada realiti masyarakat terutamanya penduduk beragama Islam. Malah saya cenderung menganggap kenyataan itu merupakan satu fitnah kepada komuniti Muslim di negara ini.Tidak ada kempen memboikot barangan keluaran usahawan bukan Islam atau non-bumi seperti yang cuba digambarkan oleh parti pemerintah.

Naratif kempen memboikot barangan bukan Islam atau barangan usahawan Cina adalah naratif DAP yang terdesak. Tidak pernah ada mana-mana organisasi berasaskan kepentingan Islam atau parti politik yang mengadakan kempen memboikot barangan bukan Islam.

Malah di luar sana juga belum ada lagi kedai bukan Islam yang ditutup atau hilang perniagaan.Ada beberapa pemimpin DAP pergi lebih jauh cuba mengaitkan kempen ini dengan UMNO dan Pas. Ini jelas membayangkan niat jahat memfitnah dan merosakkan imej komuniti Islam di negara ini.

Portal Malaysiakini cuba menjustifikasi dakwaan DAP ini dengan menerbitkan satu artikel berjudul 'Melihat kempen boikot perniagaan bukan Muslim.' Malangnya, dalam artikel yang disusun oleh Geraldine Tong dan M Fakhrull Halim ini, tiada satu bukti pun menunjukkan ada kempen 'boikot barangan bukan Islam'.Satu-satunya bukti kononnya ada kempen memboikot barangan keluaran bukan Islam ialah dengan memetik sebuah blog yang bernama BBCM (Boikot Barangan Cina DAP) yang aktif sekitar tahun 2013.

Blog ini timbul pun sebagai tindak balas sebahagian kempen warganet daripada masyarakat Cina ketika itu yang menyeru pemboikotan roti Gardenia hanya kerana sebahagian saham syarikat tersebut telah dibeli oleh Tan Sri Syed Mokhtar AlBukhari.

Kempen

Ada apa dengan kempen 'Buy Muslim Bumiputera First (BMBF)'? Asal usul kempen ini bermula daripada slogan 'Buy Muslim First' yang telah dilancarkan oleh Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) beberapa bulan lalu. PPIM melancarkannya sebagai langkah tindak balas terhadap penipuan sijil halal, penggunaan unsur-unsur Islam dalam restoran milik bukan Islam yang tiada sijil halal Jakim dan sebagai sebahagian usaha meningkatkan ekonomi orang Islam di negara ini.

Namun kempen ini telah diperbesarkan oleh warganet yang berasa kecewa dengan beberapa kontroversi membabitkan kepentingan orang Melayu dan agama Islam. Ini termasuklah tentangan terhadap pengajaran tulisan jawi, menghalau penceramah agama Islam Dr Zakir Naik dan beberapa pengumuman yang dilihat menghakis kepentingan bumiputera di negara ini.

Hasilnya muncul kempen BMBF. Kempen ini menggalakkan masyarakat bumiputera mengutamakan produk Muslim dan bumiputera ketika membuat pembelian. Perlu dijelaskan kempen ini berbeza dengan semangat kempen boikot. Dalam kes kempen boikot kita akan meminta orang berhenti membeli produk yang diboikot. Mereka yang membeli produk yang diboikot akan dimalukan, 'diherdik' dan diberi pandangan yang mencurigakan.

Namun ini tidak berlaku dalam kempen BMBF. Tidak ada unsur penghinaan kepada orang Islam yang masih menggunakan produk keluaran syarikat bukan Islam. BMBF bukan tindakan berasaskan perkauman atau rasis kerana ia tidak berasaskan bangsa Melayu menentang Cina atau bukan Melayu. Kempen BMBF merangkumi Islam yang ada pelbagai bangsa dan bumiputera yang turut terdiri daripada bukan Islam.

Masyarakat bumiputera, terutamanya orang Islam, merasakan mereka tidak lagi mempunyai kuasa dan pengaruh dalam pengurusan negara bagi menjaga kepentingan Islam dan bumiputera. Justeru gerakan massa dilancarkan merentasi batas politik, mazhab, geografi dan etnik. Ini adalah tindakan massa yang sangat indah membabitkan soal kelangsungan (survival) orang Islam dan bumiputera.

Orang Islam di negara ini sudah lama berada dalam keadaan selesa sehingga tidak begitu mengambil berat soal penguasaan ekonomi. Hari ini apabila diasak kami memilih untuk bangun membetulkan sesuatu yang telah lama terabai, yakni kekuatan ekonomi.

Kami mahu membuktikan perjuangan hari ini tidak perlu angkat senjata atau bergaduh di jalanan bagi mempertahankan hak. Jika kerajaan gagal berfungsi melindungi kepentingan kami, maka kami melakukan dari bawah.Percayalah kami juga tidak mahu 'membunuh' perniagaan bukan Islam. Kami hanya mahu menyusun kek ekonomi dengan lebih adil. Belum ada usahawan bukan Islam jatuh miskin kerana kempen ini. Apa yang berlaku hanya jualan mereka sedikit berkurangan. Apakah mereka begitu tamak sehinggakan setelah menguasai 70 peratus ekonomi negara pun masih mahu menggagalkan kempen kecil ini?

Jika ada yang bersalah dalam kemunculan kempen ini, ia adalah kesalahan DAP dan sebahagian usahawan pro-DAP yang begitu galak mempromosi agenda yang menghakis kontrak sosial kemerdekaan negara. Mereka telah menyedarkan orang Islam bahawa kuasa politik tidak lagi melindungi kami.* Abd Jalil Backer ialah Presiden Angkatan Karyawan Nasional (Akar)