Wanita bukan Islam berpakaian tidak sopan dikompaun

Anggota MPKB-BRI yang membuat pemeriksaan dan mengenakan kompaun kepada peniaga berkenaan.
Anggota MPKB-BRI yang membuat pemeriksaan dan mengenakan kompaun kepada peniaga berkenaan.
A
A
A

KOTA BHARU - Seorang peniaga wanita bukan Islam dikenakan kompaun oleh Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) selepas didapati memakai pakaian tidak sopan ketika berada di premis perniagaan pakaian di Jalan Merbau di sini pada Ahad.

Yang Dipertua MPKB-BRI, Rosnazli Amin berkata, wanita berusia 35 tahun itu didapati memakai seluar yang terlalu pendek hingga terlindung di sebalik baju T.

Menurut beliau, pemeriksaan dilakukan oleh sepasukan anggota penguat kuasa wanita majlis berkenaan pada jam 11.10 pagi.

“Pemakaiannya seksi dan tidak bersesuaian dengan lokasi.

“Misalnya, kalau kita pergi majlis yang temanya batik, kita kena pakai batik, begitu juga di tempat awam dan premis berniaga, perlu pakaian yang sopan,” katanya ketika dihubungi di sini pada Isnin.

Rosnazli
Rosnazli

Beliau menegaskan, tindakan kompaun yang diambil adalah selaras dengan Seksyen 34(2)(b) Undang-undang Kecil Pelesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian (Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam) 2019.

Berdasarkan Seksyen 34(1), pemegang lesen hendaklah memastikan dirinya dan pekerjanya berpakaian sopan, bersih serta kemas sepanjang menjalankan aktiviti-aktiviti tred, perniagaan atau perindustrian.

Bagi Seksyen 34(2) tertakluk kepada perenggan (1), pemegang lesen hendaklah - (b) bagi yang bukan beragama Islam, memastikan dirinya dan pekerjanya yang bukan beragama Islam memakai pakaian sopan dan sekiranya pekerja beragama Islam hendaklah pakaian menutup aurat.

“Penguatkuasaan ini dilaksanakan oleh anggota penguatkuasa MPKB-BRI dari semasa ke semasa sebelum ini sama ada terhadap pemilik dan pekerja beragama Islam mahupun bukan beragama Islam.

“Tidak ada apa-apa provokasi dan manipulasi yang timbul oleh mana-mana pihak sepanjang proses perlaksanaan kompaun dibuat,” katanya.

=

Hantaran yang dimuat naik di Facebook oleh wanita yang dikompaun tersebut.
Hantaran yang dimuat naik di Facebook oleh wanita yang dikompaun tersebut.

Dalam pada itu, tular di Facebook wanita yang disaman tersebut memuat naik hantaran dia menukar baju T berwarna hitam yang lebih pendek daripada baju T asal berwarna merah jambu dikatakan supaya kelihatan seluar pendek yang dipakai.

Tindakan itu turut mencetuskan pelbagai reaksi daripada netizen.