Lagu rasmi TMM2020 paparkan kekayaan warisan muzik Malaysia

Mohamaddin -Foto Bernama
Mohamaddin -Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sebilangan besar alat muzik tradisional yang digunakan untuk menghasilkan lagu rasmi ‘Visit Truly Asia-Malaysia’ sempena kempen Tahun Melawat Malaysia 2020 (TMM2020) memaparkan kekayaan warisan muzik Malaysia dan mencerminkan penduduk berbilang kaum di negara ini.

Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Datuk Mohamaddin Ketapi berkata antara alat muzik yang digunakan ialah bungkau daripada budaya Kadazandusun, seruling buluh (Melayu), tabla dan sitar (India) serta erhu (Cina) yang menghasilkan melodi indah.

“Selain itu, penggunaan kompang dan muzik dikir barat menjadikan lagu itu menarik, rancak dan disudahi dengan not yang bersemangat tinggi,” katanya selepas melancarkan lagu rasmi Tahun Melawat Malaysia 2020 di Istana Budaya di sini hari ini.

Turut hadir timbalan menterinya Datuk Muhammad Bakhtiar Wan Chik dan Ketua Setiausaha kementerian Datuk Isham Ishak.

Lagu itu digubah dalam dua bahasa oleh Ramlan Mohd Imam, Dekan Fakulti Muzik di Akademi Seni dan Warisan Negara manakala liriknya ditulis oleh Normah Kechut dalam bahasa Malaysia dan James P.S. Boyle dalam bahasa Inggeris.

Sementara itu, Mohammadin turut menggalakkan semua pihak untuk menggunakan logo dan lagu kempen itu di mana-mana ruang yang sesuai bagi meningkatkan jangkauan kempen itu di dalam dan luar negara.

“Saya berharap kempen TMM2020 disokong sepenuh hati oleh seluruh rakyat Malaysia.

“Marilah kita menjayakan kempen TMM2020 dengan misi dan tugas kita kepada negara ini,” katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: