SASET tanam 700 anak pokok nadir di Hutan Simpan Tekai

Tengku Fahd bersama sukarelawan mengambil peluang menanam pokok pada program tersebut, kelmarin.
Tengku Fahd bersama sukarelawan mengambil peluang menanam pokok pada program tersebut, kelmarin.
A
A
A

JERANTUT - Sultan Ahmad Shah Environmental Trust (SASET) menanam 700 anak pokok nadir di Hutan Simpan Tekai, Tembeling di sini melalui program Go Green With SASET (GGWS) sempena Sambutan Hari Hutan Antarabangsa Peringkat Daerah Jerantut, 25 Ogos lalu.

GGWS merupakan program penanaman pokok yang diilhamkan Tengku Arif Temenggong Pahang, Tengku Fahd Muad’zam Shah Sultan Ahmad Shah sejak 2011.

Tengku Fahd Muad’zam Shah yang juga Presiden SASET berkata, buat julung kalinya SASET terlibat dengan kerja-kerja penanaman anak pokok nadir di Pahang dengan kerjasama Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP), Pejabat Daerah dan Tanah Jerantut (PDTJ) serta para sukarelawan.

Menurutnya, sebelum ini pihaknya giat menanam pokok-pokok hutan bertujuan menghijaukan kawasan hutan simpan selain dapat menjadi sumber pendapatan tambahan penduduk setempat, khususnya masyarakat orang asli dari suku kaum Negrito dan Batek.

“Terdapat 262 perkampungan orang asli dengan jumlah penduduknya seramai 78,636 orang di seluruh Pahang.

“Di Jerantut sahaja terdapat 12 perkampungan orang asli dengan jumlah keseluruhan penduduk 3,561 orang dan dianggarkan terdapat kira-kira 900 orang asli suku Batek di daerah ini dan Lipis.

“Dengan adanya program seperti ini, dapatlah mereka menambah pendapatan dengan hasil yang bakal dikeluarkan pokok-pokok yang ditanam ini," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan program tersebut, kelmarin.

Artikel Berkaitan:

Hadir sama, jemputan dari Indonesia, Sultan Indragiri XXVII Tengku Parameswara Arif dan keluarganya; Naib Presiden SASET, Datuk Aida Jusuf; Ketua Kempen SASET, Datuk Mohammad Ezan Ahmad; Pengarah Perhutanan Negeri Pahang, Datuk Dr Mohd Hizamri Mohd Yasin dan Pegawai Daerah Jerantut, Tengku Khairul Zahirah Tengku Kamaludin.

Tengku Fahd Muad’zam Shah berkata, masyarakat orang asli suku Negrito dan Batek yang kebanyakannya tinggal di Pahang, Kelantan dan Terengganu ini masih meneruskan amalan berpindah-randah atau nomad yang diwarisi sejak turun-temurun.

“Bahkan, masyarakat minoriti ini cukup sinonim dengan alam semula jadi dan terus mengamalkan kehidupan serta adat resam mereka," katanya.

Beliau berkata, SASET komited untuk menjadikan negeri ini lebih hijau melalui usaha itu dan ia akan diteruskan supaya lebih banyak pokok-pokok hijau dapat ditanam secara meluas di seluruh Pahang.

“Selain usaha ini, kita juga berharap agar pembangunan fizikal di negeri ini beriringan dengan pemeliharaan alam semula jadi dengan memupuk kesedaran masyarakat terutamanya golongan belia terhadap kepentingan alam semula jadi sebagai tanggungjawab bersama.

“Pokok dan hutan memainkan peranan penting dalam mengurangkan kesan perubahan iklim dan menanam pokok adalah satu usaha murni yang boleh kita lakukan bagi memperbaiki kualiti alam.

“Justeru itu, program kesedaran mengenai kepentingan alam semula jadi perlu dilaksanakan secara konsisten dan melibatkan semua lapisan masyarakat,” katanya.

GGWS kali keenam itu disertai 200 sukarelawan dari Muslim Volunteer Malaysia (MVM), Kolej Komuniti Bera dan Jerantut, Universiti Malaysia Pahang (UMP), Limkokwing University of Creative Technology, DRB HICOM University Of Automotive Malaysia, Amanah Saham Nasional Berhad cawangan Temerloh dan Sekolah Menengah Kebangsaan Temerloh Jaya.

Sebanyak 700 anak pokok nadir spesies durian hutan (durio zibethinus), bruas (garcinia hombroniana), petai (parkia speciosa), kundang rumenia (bouea oppositifolia), sentul (sandoricum koetjape) dan kedondong sengkuang (scutinanthe brunnea) ditanam dalam kawasan seluas 35,000 meter persegi.

Sehingga kini, SASET telah menanam sebanyak 121,012 pokok sekitar Pahang Darul Makmur dengan kerjasama JPNP dan pelbagi pihak lain termasuk NGO, syarikat korporat dan persendirian bagi menghijaukan khazanah alam semula jadi untuk tatapan generasi akan datang.