34 ditangkap ceroboh tanah kerajaan di Pahang

Wan Rosdy
Wan Rosdy
A
A
A

KUANTAN - Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP) melakukan 34 tangkapan melibatkan kesalahan pencerobohan tanah kerajaan di bawah Seksyen 425 Kanun Tanah Negara (Akta 828) dalam tempoh Januari hingga Mei tahun ini.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, ia turut melibatkan kesalahan melombong tanpa pajakan mengikut Seksyen 158 Enakmen Mineral Negeri Pahang 2001 dan pemindahan bahan batuan tanpa kelulusan Seksyen 426 Kanun Tanah Negara (Akta 828).

Menurutnya, hasil tindakan penguatkuasaan dijalankan, UPNP melakukan sitaan ke atas 66 jentera dan 270 barang kes.

"Selain itu, denda sebanyak RM250,000 berjaya dikutip hasil daripada pendakwaan kes terlibat.

"UPNP juga telah menyelesaikan tindakan pemusnahan struktur binaan dan tanaman di atas tanah kerajaan yang diceroboh seluas 302 ekar di seluruh Pahang melibatkan tanah Kerajaan milik Perbadanan Setiausaha Kerajaan (PSK) dan anak-anak syarikat kerajaan negeri," katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan penggulungan Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Penggal Ketiga di Wisma Sri Pahang di sini pada Isnin.

Wan Rosdy berkata, pada 8 Mei lalu, seorang lelaki didenda RM200,000 selepas didapati bersalah kerana menceroboh tanah kerajaan di daerah Raub.

"Kerajaan negeri amat mengambil berat terhadap usaha-usaha penguatkuasaan terhadap kes-kes yang menyebabkan kehilangan hasil negeri.

Artikel Berkaitan:

"Seperti mana yang dititahkan Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al Mustafa Billah Shah, UPNP tidak perlu gusar dan takut serta terus proaktif memperkasakan tindakan penguatkuasaan undang-undang.

"UPNP sejak mula ditubuhkan pada 15 Oktober 2019 begitu aktif melaksanakan aktiviti-aktiviti penguatkuasaan secara berterusan bagi memastikan segala pencerobohan tanah Kerajaan, perlombongan haram serta pencerobohan kawasan hutan simpan dapat dibasmi dengan sehabis-habisnya," katanya.

Dalam perkembangan lain, Wan Rosdy berkata, pengukuhan syiar Islam di bumi Pahang kini berkembang dengan begitu baik dan subur.

Beliau berkata, dakwaan bahawa Islam terancam dan Pahang sebagai negeri sekular hanya satu kenyataan yang cuba mencetuskan persepsi buruk bagi memecahbelahkan keharmonian rakyat di negeri ini.

"Hakikatnya, Islam di Pahang tidak pernah goyang atau terancam, sebaliknya ia terus diperkukuhkan menerusi pelbagai inisiatif termasuk menyalurkan peruntukan besar RM162.5 juta ringgit menerusi belanjawan tahun ini.

"Saya menyeru janganlah ada suara-suara sumbang yang cuba mengganggu-gugat dengan menyebarkan persepsi kebencian lebih-lebih lagi berkaitan agama Islam yang secara jelasnya merupakan agama rasmi Persekutuan dan negeri Pahang," ujarnya.

Dalam ucapan penggulungan itu, Wan Rosdy turut menyentuh berhubung bantuan kemanusiaan ke Gaza menerusi tabung Pahang4Palestine yang diuruskan sendiri oleh kerajaan negeri.

Menurutnya, tabung Pahang4Palestine yang dilancar 28 Oktober tahun lalu berjaya mengutip RM1.448 juta bagi membantu rakyat Palestin di Gaza yang menjadi mangsa kekejaman Rejim Israel.

"Insya-ALLAH, pada 20 Mei ini, saya akan melancarkan penghantaran bantuan dalam bentuk barangan seperti ubat-ubatan, selimut dan makanan sedia untuk di makan ke Gaza dengan kerjasama Wisma Putra menerusi program Ops Ihsan," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!