Dilema pemandu e-hailing

Persaingan harga dalam kalangan penyedia perkhidmatan e-hailing menyebabkan pemandu kurang pendapatan. Gambar kecil dari kiri: Norzabidi, Mohd Kamal, Ikmal
Persaingan harga dalam kalangan penyedia perkhidmatan e-hailing menyebabkan pemandu kurang pendapatan. Gambar kecil dari kiri: Norzabidi, Mohd Kamal, Ikmal
A
A
A

Apa Khabar Rakyat kali ini menyingkap kisah hidup pemandu e-hailing di Alor Setar yang menjadikan kerjaya itu sebagai pendapatan utama menyara keluarga.

Bagaimanapun, kebanyakan mereka mula mengeluh apabila pendapatan diperolehi mula terjejas berikutan kadar tambang semakin rendah dan murah berbanding kos dikeluarkan untuk operasi perkhidmatan itu.

Ikuti laporan wartawan Sinar Harian, Nurul Hidayah Hamid bagi mendengar luahan pemandu e-hailing berhubung isu ini.

Pemandu e-hailing di sekitar bandar raya ini hidup dalam dilema berikutan harga tambang perkhidmatan tidak menentu dan rendah hingga menjejaskan pendapatan harian mereka.

Seorang pemandu e-hailing, Mohd Kamal Yahya, 55, mengakui terkesan dengan keadaan itu apabila penstrukturan harga tambang membolehkan pengguna meletakkan harga sesuka hati.

Katanya, penggunaan sistem bidaan harga oleh pelanggan khidmat kenderaan berbayar dianggap tidak masuk akal.

Sebahagian pemandu e-hailing menunggu tempahan pelanggan.
Sebahagian pemandu e-hailing menunggu tempahan pelanggan.

“Terdapat kira-kira 27 penyedia perkhidmatan e-hailing di seluruh negara dengan rata-ratanya mula menggunakan sistem bidaan harga.

Artikel Berkaitan:

“Jadi, persaingan tidak sihat antara syarikat penyedia perkhidmatan e-hailing yang tidak terkawal membunuh kerjaya pemandu sepenuh masa,” katanya.

Mohd Kamal berkata, disebabkan keadaan itu, kebanyakan pemandu e-hailing sukar meraih pendapatan mencecah RM100 sehari.

“Dengan kewujudan sistem bidaan ini, pengguna membida harga terendah sebelum mencapai persetujuan dengan pemandu.

“Walaupun ada pemandu bersetuju, namun tiada pilihan atau terpaksa dan sanggup mengambil tempahan sistem bidaan untuk mendapatkan wang,” katanya.

Menurut Mohd Kamal, akibatnya kadar tambang diterima tidak menguntungkan pemandu e-hailing apabila pengguna boleh menurunkan harga sesuka hati mereka.

“Bayangkan, jika kami membuat perjalanan lebih 15 trip sehari belum mampu meraih sehingga RM100,” katanya.

Katanya, pendapatan rendah diperoleh tidak setimpal dengan kos dan perkhidmatan ditawarkan.

Disebabkan itu katanya, ada dalam kalangan mereka terpaksa bekerja sehingga tengah malam untuk mendapatkan pendapatan lebih RM100 sehari.

Seorang lagi pemandu e-hailing, Ikmal Hisham Ibrahim, 45, berkata, adakalanya pendapatan diterima tidak berbaloi dengan kos operasi dikeluarkan mereka.

Katanya, sistem bidaan harga seolah- olah memberi peluang pengguna memilih harga terendah dan lebih menguntungkan mereka berbanding pemandu e-hailing.

“Selepas tempoh seminggu atau dua minggu, barulah kita sebagai pemandu tersedar bahawa pendapatan tidak berbaloi dengan perjalanan jauh dan kos dikeluarkan.

“Pengguna e-hailing baharu mungkin merasakan sistem ini menguntungkan, sedangkan ia adalah tidak berbaloi untuk pemandu,” katanya.

Katanya, dengan kekurangan pelanggan dan kos sara hidup ketika ini, pendapatan diterima sememangnya rendah dan tidak mencukupi untuk menyara keluarga.

Pandangan sama diluahkan Nizam Johan, 54, yang mendakwa terpaksa bergelut mencari wang setiap hari.

Katanya, pemandu e-hailing sepertinya tidak mampu meraih pendapatan lumayan disebabkan tidak ramai menggunakan perkhidmatan berkenaan di bandar raya ini.

“Hendak dapat RM100 sehari pun agak payah sebab kadang-kadang penumpang pun kurang.

“Untuk satu perjalanan adakalanya untung bersih diterima hanya sekitar RM3 sahaja,” katanya.

Menurut Nizam, pendapatan diperolehi ketika membawa e-hailing pastinya tidak cukup untuk menampung kos sara hidup sendiri atau keluarga.

“Lebih memeritkan, sistem bidaan digunakan lebih memihak kepada pengguna berbanding pemandu,” katanya.

Mohd Kamal mengakui banyak menghabiskan masa menunggu tempahan pelanggan.
Mohd Kamal mengakui banyak menghabiskan masa menunggu tempahan pelanggan.

--SH: Persatuan cadang harga tambang dikawal selia

Sementara itu, Persatuan Pemandu e-Hailing Utara (NeHDA) mencadangkan harga tambang perkhidmatan e-hailing dikawal selia dan sistem bidaan harga disemak bagi menjamin industri ini terbela.

Pengerusi NeHDA, Norzabidi Bahador berkata, agensi berkaitan perlu mengambil tanggungjawab mengawal selia harga tambang e-hailing.

Beliau mendapati, kebanyakan syarikat penyedia perkhidmatan e-hailing kini menggunakan sistem bidaan harga hingga merosak dan menekan harga tambang kepada kadar yang tidak masuk akal.

“Ini berlaku apabila sistem ini memberi kuasa penentu harga tambang e-hailing kepada pengguna sehingga ada harga tambang bermula dengan harga RM2.50.

“Sistem inilah punca kepada harga tambang e-hailing merudum apabila syarikat berlumba-lumba menurunkan harga demi memancing pengguna memilih perkhidmatan mereka,” katanya.

Beliau menambah, pengguna dan pemandu perlu mempunyai ilmu berkaitan harga patut atau harga lantai dengan kadar purata RM1.25 per kilometer.

Selain itu, katanya, NeHDA amat menggalakkan sekiranya pihak syarikat penyedia aplikasi perkhidmatan pengangkutan e-hailing mengambil pendekatan seperti mana di Singapura.

“Antara pendekatan itu termasuklah harga tambang e-hailing bermula dari tempat pemandu mendapat permintaan menuju ke 'pick up point' penumpang seterusnya harga tambang berlanjutan ke tempat 'drop off point' penumpang,” katanya.

Norzabidi berkata, kaedah ini dilihat lebih munasabah memandangkan pelbagai kos terpaksa ditanggung pemandu untuk tiba.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!