Ketepi beza politik cari penyelesaian isu kemiskinan Kelantan

Md Farid (kiri) ketika sesi temubual di stesen radio Kelantan FM, semalam.
Md Farid (kiri) ketika sesi temubual di stesen radio Kelantan FM, semalam.
A
A
A

KOTA BHARU - Kerajaan Persekutuan dan negeri diharap mengetepikan perbezaan politik dan perlu bekerjasama mencari jalan penyelesaian membantu penduduk negeri ini bebas dari kemiskinan.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Md Farid Md Rafik berkata, sekiranya masing- masing menyangkal kenyataan masalah kemiskinan di negeri ini tidak akan berkurangan.

Menurutnya, sistem e-Kasih sedia ada menjadi pangkalan data bagi mengklasifikasikan golongan sasar kategori miskin tegar selain mengenal pasti mereka yang sudah keluar dari garis kemiskinan.

"Kita perlu cari kaedah penyelesaian masalah ini kerana berdasarkan pengkalan data e-Kasih, Kelantan antara negeri tertinggi senarai penerima.

"Penyelesaian ini tidak boleh dilakukan oleh Kerajaan Pusat sendirian dan perlukan kerjasama Kerajaan Negeri. Walaupun berbeza politik kita perlu bekerjasama kerana semua ini melibatkan kepentingan rakyat," katanya pada sidang media selepas program Bual Bicara Segmen 'Apa Khabar Orang Kampung' Kelantan FM, semalam.

Md Farid yang juga Ahli Parlimen Tanjung Piai berkata, Kerajaan Persekutuan tidak menunding jari atau mencari kesalahan negeri ini miskin kerana pihak kerajaan sentiasa menyalurkan bantuan sistem e-Kasih.

Terdahulu sebelum ini Timbalan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Dr Mohd Radzi Md Jidin mengeluarkan kenyataan daftar dalam sistem e-Kasih menunjukkan Kelantan berada di tangga ketiga negeri termiskin.

ARTIKEL BERKAITAN: Kelantan paling ramai penduduk miskin

Namun, Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Abdullah mempertikaikan kenyataan itu dan menganggap petunjuk yang digunakan bagi status itu sebagai tidak memadai.

Artikel Berkaitan:

ARTIKEL BERKAITAN: Rakyat Kelantan banyak rumah, tanah