'Ketepi taasub politik, rakyat wajar sokong usaha agresif PM lawan rasuah'

Laporan Sinar Harian pada Rabu.
Laporan Sinar Harian pada Rabu.
A
A
A

SHAH ALAM - Rakyat Malaysia wajar menyokong penuh tindakan agresif Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam usahanya membanteras segala ketirisan dan rasuah di negara ini.

Ketua Pasukan Rasuah Busters Perlis, Nor Halmey Hamdah berkata, kejayaan membersihkan negara daripada rasuah hanya akan dapat dicapai sekiranya mendapat sokongan semua pihak.

"Rakyat tidak harus memenjarakan minda mereka dengan ketaasuban politik masing-masing, apabila sesuatu tindakan diambil hendak dikaitkan dengan musuh politik semuanya. Datuk Seri Anwar Ibrahim dilihat bertindak adil dan tanpa memilih bulu.

"Beri sokongan, dukungan dan peluang kepada beliau untuk buktikan mampu mengemudi negara dengan membersihkan negara daripada rasuah," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Anwar sebelum ini kerap kali menzahirkan komitmen untuk membanteras rasuah di negara ini.

Pada Rabu, beliau sekali lagi menegaskan agenda untuk meningkatkan tata kelola di negara ini akan diteruskan dalam menghapuskan ketirisan dan pembaziran.

Tegas Anwar, tata kelola juga merupakan faktor penting untuk menarik pelaburan dan meningkatkan persekitaran perniagaan malah menjaga keselamatan rakyat dan sempadan negara.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, perkara itu ditekankan semasa pertemuan dengan ketua jabatan dan agensi penguat kuasa berkaitan jenayah kewangan di Kementerian Kewangan, petang Rabu.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Nor Halmey berkata, pendekatan Anwar itu akan membawa laba kesejahteraan kepada rakyat, sekali gus mendorong pelbagai manfaat bakal dinikmati oleh negara kelak.

"Saya yakin bila negara bersih, rakyat juga yang akan mendapat keuntungan, misalnya pelabur akan bertambah yakin untuk datang melabur ke negara kita.

"Ini akan mewujudkan peluang pekerjaan kepada anak-anak muda kita, jadi kita juga perlu mempunyai tekad sama terus mempertahankan negara daripada kerosakan yang dibawa perasuah-perasuah yang bertopengkan kemuliaan dari atas kerusi politik dan sebagainya," katanya.