Rakyat Kelantan banyak rumah, tanah

Mohd Amar pada sidang akhbar Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri di Kompleks Kota Darul Naim hari ini.
Mohd Amar pada sidang akhbar Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri di Kompleks Kota Darul Naim hari ini.
A
A
A

KOTA BHARU - Senarai e-kasih tidak boleh dijadikan gambaran keseluruhan dengan meletakkan Kelantan sebagai bilangan penduduk miskin tertinggi antara negeri-negeri di Semenanjung Malaysia.

Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Abdullah berkata, penduduk di sini mungkin tidak mempunyai duit yang banyak tetapi memiliki harta, rumah dan tanah bernilai ratusan ribu ringgit.

Menurutnya, beliau mengakui pendapatan per kapita di Kelantan agak rendah iaitu sebanyak RM13,000 berbanding pendapatan per kapita negara yang mencecah sehingga RM40,000 sebulan.

Namun katanya, kadar kemiskinan atau pengangguran di sini hampir sama dengan tahap kemiskinan negara iaitu 0.4 peratus.

"Takkan nak heboh, rakyat kita ada beberapa rumah sewa, kebun dan tanah berekar-ekar.

"Lihat sahaja penerbangan di negeri ini, hampir penuh malah kadar perjalanannya lebih kerap berbanding lapangan terbang di negeri lain.

"Takkan orang miskin mampu naik kapal terbang selalu," katanya pada sidang akhbar Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri di Kompleks Kota Darul Naim hari ini.

Mohd Amar yang juga Naib Presiden Pas berkata, jika penduduk menerima pendapatan sebanyak RM2,000, di Kelantan boleh dianggap boleh cari makan berbanding di ibu kota.

Artikel Berkaitan:

Katanya, kerajaan Persekutuan tidak boleh meletakkan rakyat Kelantan sebagai termiskin hanya menggunakan senarai e-kasih sebaliknya melihatnya dari skop yang lebih luas.

Jika benar rakyat Kelantan miskin, beliau berkata, kerajaan perlu membayar royalti dengan segera supaya kerajaan negeri dapat membantu golongan miskin tegar tersebut.

Semalam, Timbalan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Senator Dr Mohd Radzi Md Jidin mengesahkan Kelantan mempunyai statistik tertinggi penduduk miskin antara negeri-negeri di Semenanjung Malaysia.

Menurutnya, statistik kemiskinan bagi bulan Jun 2019 menunjukkan miskin tegar di Kelantan adalah seramai 6,210 orang dan miskin pula 31,217 orang.

ARTIKEL BERKAITAN: Kelantan paling ramai penduduk miskin