El Nino: Tubuh jawatankuasa persekutuan dan negeri - AWER

S. Piarapakaran
S. Piarapakaran
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan perlu membentuk jawatankuasa peringkat persekutuan dan negeri sebagai persediaan menghadapi fenomena El Nino yang dijangka berlaku pada pertengahan 2023 hingga awal 2024.

Presiden Persatuan Penyelidikan Air dan Tenaga Malaysia (AWER), S Piarapakaran berkata, langkah itu perlu bagi menguruskan krisis yang berkemungkinan berlaku akibat daripada fenomena berkenaan.

Menurutnya, semua kejadian fenomena El Nino yang telah direkodkan sebelum ini mesti dikaji dan dibanding dengan kehilangan litupan hutan semula jadi.

“Kami ingin menegaskan bahawa hutan pengeluaran (production forest) tidak sama dengan hutan dara semula jadi.

“Oleh itu, pemodelan semula ketersediaan air mentah yang dikemas kini mesti dilakukan untuk memastikan kita bersedia menghadapi senario terburuk dan meminimumkan kesan sosial, ekonomi dan alam sekitar,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Beliau berkata, jawatankuasa dibentuk itu perlu memantau dan mencari alternatif bagi mengatasi masalah disebabkan El Nino terutama melibatkan cuaca kering yang mendorong berlakunya kemarau.

“Penempatan lama, kawasan subbandar dan luar bandar mungkin menghadapi tekanan air rendah dan keadaan tiada bekalan air semasa musim panas yang mungkin berpanjangan disebabkan oleh penggunaan air pada waktu puncak,” ujarnya.

Piarapakaran berkata, AWER juga telah menghantar surat kepada perdana menteri, menteri kabinet yang berkenaan serta kerajaan-kerajaan negeri untuk mengambil langkah segera bagi bersiap sedia menghadapi fenomena El Nino.

“Walaupun pembentukan El Nino masih di peringkat ramalan, adalah lebih baik untuk kita semua bersedia dan meminimumkan sebarang kesan negatif sosial, ekonomi dan alam sekitar,” jelasnya.

Mengulas lanjut mengenai krisis bekalan air yang boleh berlaku disebabkan fenomena itu, Piarapakaran turut mencadangkan kawasan yang mempunyai kekurangan infrastruktur bekalan air dan tekanan air yang rendah perlu dikenal pasti dan disediakan dengan tangki air statik yang boleh diisi dengan menggunakan lori tangki air.

“Ini akan meminimumkan kesan gangguan bekalan air pada waktu puncak dan semua syarikat air perlu mengenal pastI lokasi-lokasi ini dan tiada alasan patut dilayan.

"Situasi ini masih wujud berikutan kelewatan pelaksanaan Penstrukturan Semula Industri Perkhidmatan Air Negara (PSIPAN),” tambah beliau.

Ujarnya, projek bekalan air luar bandar yang bukan di bawah bidang kuasa kementerian yang bertanggungjawab ke atas air harus tertakluk kepada pendekatan yang sama untuk menyelaraskan pengurusan krisis.