200 murid asnaf teruja terima beg, kasut dan uniform sekolah baharu

Zawahir (tiga dari kanan) bersama penerima bantuan menerusi Program Kembali Ke Sekolah 2027 hasil kerjasama Etiqa Takaful dan Islamic Aid Malaysia (IAM) di Sekolah Kebangsaan Bunut Susu, Pasir Mas pada Khamis.Foto:SINAR HARIAN/HAZELEN LIANA KAMARUDIN
Zawahir (tiga dari kanan) bersama penerima bantuan menerusi Program Kembali Ke Sekolah 2027 hasil kerjasama Etiqa Takaful dan Islamic Aid Malaysia (IAM) di Sekolah Kebangsaan Bunut Susu, Pasir Mas pada Khamis.Foto:SINAR HARIAN/HAZELEN LIANA KAMARUDIN
A
A
A

PASIR MAS – Walaupun cuti persekolahan masih belum bermula, seramai 200 murid daripada keluarga kurang berkemampuan di daerah ini sudah mengukir senyuman apabila menerima beg, kasut dan pakaian seragam baharu sebagai persiapan menghadapi sesi persekolahan 2027.

Kegembiraan jelas terpancar pada wajah mereka apabila berpeluang mendapatkan kelengkapan sekolah lebih awal, sesuatu yang lazimnya hanya dinikmati apabila sesi persekolahan semakin hampir.

Menurut Siti Balqis Mohd Firdaus, 7, peluang memiliki kelengkapan sekolah baharu memberikan semangat kepadanya untuk melangkah ke Tahun Dua tidak lama lagi.

"Biasanya saya perlu menunggu sehingga hampir sesi persekolahan bermula untuk mendapatkan baju, kasut dan beg baharu," kata anak kedua daripada tiga beradik itu yang mengakui teruja menerima sumbangan berkenaan.

Beliau antara 200 penerima bantuan menerusi Program Kembali Ke Sekolah 2027, hasil kerjasama Etiqa Takaful dan Islamic Aid Malaysia (IAM) di Sekolah Kebangsaan Bunut Susu di sini pada Khamis.

Keterujaan sama turut dirasai Muhammad Alfi Irsyad Faizol, 7, anak bongsu daripada empat beradik, apabila berpeluang memilih sendiri kasut sekolah yang diinginkannya.

Lebih menggembirakan, beliau menerima dua pasang kasut baharu yang telah lama diidamkan.

Dari kiri Siti Balqis, Muhammad Alfi Irsyad dan Mohamad Amir
Dari kiri Siti Balqis, Muhammad Alfi Irsyad dan Mohamad Amir

"Seronok sangat hari ini. Saya dapat dua pasang kasut, selain baju, beg dan sejadah yang boleh digunakan sebagai baju hujan," katanya.

Bagi Mohamad Amir Mohamad Azani, 11, kebiasaannya beliau hanya memperoleh beg, kasut dan pakaian seragam baharu apabila sesi persekolahan semakin hampir.

Namun kali ini, katanya, persiapan ke sekolah dapat dilakukan lebih awal sekali gus menambahkan keterujaannya untuk kembali menimba ilmu.

Sementara itu, Presiden IAM, Zawahir Abdullah berkata, kerjasama berterusan dengan Etiqa membolehkan lebih ramai murid daripada keluarga asnaf dan kurang berkemampuan menerima sokongan yang diperlukan bagi meneruskan pendidikan dengan lebih yakin.

Menurut beliau, sumbangan itu bukan sahaja membantu menyediakan keperluan persekolahan, malah menyuntik semangat serta memberikan harapan kepada murid dan keluarga mereka dalam menghadapi sesi persekolahan baharu.

Katanya, setiap murid terpilih menerima dua pasang pakaian seragam, sebuah beg sekolah, dua pasang kasut, stoking dan sejadah.

"Program ini turut menggunakan konsep kiosk yang membolehkan murid dan ibu bapa memilih sendiri saiz pakaian seragam serta kasut yang bersesuaian sebelum kelengkapan diserahkan.

"Pendekatan ini memastikan setiap penerima mendapat barangan yang benar-benar sesuai dan selesa digunakan," katanya.

Zawahir (kiri) menunjukkan sejadah yang boleh dijadikan baju hujan semasa Program Kembali Ke Sekolah 2027 hasil kerjasama Etiqa Takaful dan Islamic Aid Malaysia (IAM) di Sekolah Kebangsaan Bunut Susu, Pasir Mas pada Khamis.Foto:SINAR HARIAN/HAZELEN LIANA KAMARUDIN
Zawahir (kiri) menunjukkan sejadah yang boleh dijadikan baju hujan semasa Program Kembali Ke Sekolah 2027 hasil kerjasama Etiqa Takaful dan Islamic Aid Malaysia (IAM) di Sekolah Kebangsaan Bunut Susu, Pasir Mas pada Khamis.Foto:SINAR HARIAN/HAZELEN LIANA KAMARUDIN

Turut hadir Pengarah Wilayah Bahagian Pantai Timur Etiqa, Muhammad Nurawi Abdul Rashid.

Menurut beliau, Program Kembali Ke Sekolah 2027 merupakan sebahagian daripada siri jelajah di sembilan negeri dengan sasaran membantu kira-kira 1,800 murid sekolah rendah daripada keluarga yang memerlukan.

Tambahnya, Kelantan merupakan negeri kelima menerima manfaat program berkenaan selepas Johor, Pahang, Terengganu dan Selangor sebelum siri jelajah diteruskan ke Kedah, Perak, Sabah dan Sarawak.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!