Balu anggota polis korban nahas van mohon doa, fokus besarkan anak

TUMPAT - Balu anggota polis yang maut dalam kemalangan membabitkan van polis di Tapah, Perak pada 17 November lalu merancang menggunakan sepenuhnya wang pampasan kematian berjumlah RM72,500 untuk membesarkan anak lelakinya yang baru berusia enam bulan.
Nor Ilyanie Abd Aziz, 26, isteri kepada Allahyarham Lans Koperal Muhammad Shahrul Alif Yaacob, 26, turut memohon doa agar diberikan kekuatan untuk meneruskan kehidupan selepas kehilangan suami.
“Duit pampasan (yang saya terima) ini untuk besarkan anak, (mohon) doakan saya,” katanya.
Terdahulu, Nor Ilyanie menerima kunjungan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan dan Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat di rumah keluarganya di Kampung Tengah Geting, Pengkalan Kubor di sini pada Rabu.
Pada kunjungan itu, Nor Ilyanie menerima replika cek pampasan kematian menerusi skim takaful berkelompok Koperasi PDRM.

Sinar Harian pada 17 November lalu melaporkan, seorang anggota polis maut selepas dipercayai tercampak keluar daripada van polis yang terbabas sebelum merempuh penghadang besi di Kilometer 352 Lebuhraya Utara-Selatan arah selatan di Tapah, Perak.
Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin berkata, kejadian kira-kira jam 11.35 pagi ketika van jenis Maxus yang membawa 11 anggota polis termasuk pemandu dalam perjalanan dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak ke Melaka.
Mohd Alwi berkata, siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku selepas tayar belakang kiri van berkenaan pecah secara tiba-tiba.
Dalam pada itu, Nor Ilyanie yang bekerja sebagai eksekutif akaun berkata, keutamaannya kini adalah memastikan kebajikan dan masa depan anak lelakinya terpelihara selepas kehilangan insan tersayang.
Dia turut memohon doa agar diberikan kekuatan untuk meneruskan kehidupan selain turut menzahirkan penghargaan kepada semua pihak termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang banyak menghulurkan bantuan kepadanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

