Bertahun hadap air keruh, akhirnya pondok, madrasah di Pasir Mas terima air bersih

PASIR MAS – Setiap kali mahu menggunakan air untuk memasak, membersihkan diri atau menjalankan urusan harian, penghuni Pondok Alor Durian di sini terpaksa berdepan masalah air telaga yang semakin keruh.
Pengetuanya, Mohd Nasir Mamat berkata, pondok yang mula dibina pada tahun 2020 itu bergantung sepenuhnya kepada sumber air telaga untuk kegunaan 17 penghuninya.
"Kami pernah membeli sendiri dua unit penapis air bagi memastikan bekalan yang digunakan lebih bersih.
"Namun, usaha itu tidak membuahkan hasil seperti yang diharapkan apabila kedua-dua penapis berkenaan kurang berkesan," katanya ketika ditemui pada Program Air Bersih Kelantan hasil kerjasama Etiqa Takaful dan Islamic Aid Malaysia (IAM) di Sekolah Kebangsaan Bunut Susu di sini pada Khamis.
Menurut beliau, mereka amat bersyukur apabila kesulitan yang ditanggung sekian lama itu akhirnya mendapat penyelesaian apabila pondok berkenaan menerima sumbangan set penapis air luar bangunan.
Katanya, sumbangan tersebut membolehkan penghuni menikmati bekalan air yang lebih bersih dan selamat digunakan.

Sementara itu, Pengerusi Madrasah Haji Mat Nasir, Mukim Tempoyak, Ariffin Ismail berkata, pihaknya sebelum ini turut bergantung kepada sumber air telaga tiub.
Menurutnya, sumbangan sistem penapisan air berkenaan memberi kelegaan kepada warga madrasah apabila bekalan air yang digunakan kini lebih jernih dan tidak berbau.
Beliau turut menzahirkan penghargaan atas keprihatinan pihak yang menyalurkan bantuan tersebut kerana manfaatnya dapat dinikmati oleh seluruh warga madrasah.
Sementara itu, Presiden IAM, Zawahir Abdullah berkata, kerjasama antara Etiqa dan IAM bukan sahaja memberi tumpuan kepada bidang pendidikan, malah diperluaskan menerusi Projek Bekalan Air Bersih 2026.
Menurut beliau, sebanyak 80 unit set penapis air luar bangunan akan disalurkan kepada institusi dan komuniti terpilih di Kelantan, Perak, Kedah dan Johor.
"Daripada jumlah itu, sebanyak 20 unit diperuntukkan kepada Kelantan membabitkan pusat tahfiz dan madrasah, sekolah, surau, masjid serta rumah kebajikan terpilih.
"Inisiatif ini bertujuan memperluaskan akses kepada bekalan air bersih yang selamat, sekali gus menyumbang kepada kesejahteraan dan kualiti hidup komuniti setempat," katanya.
Beliau berkata, kerjasama strategik itu diharap dapat membantu lebih ramai komuniti yang memerlukan menikmati kemudahan bekalan air bersih, sekali gus meningkatkan kesejahteraan hidup mereka.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

