China muktamad perjanjian selesai hutang 1MDB pada 2016

Bekas Pegawai Khas Datuk Seri Najib Tun Razak, Datuk Amhari Efendi (tengah) yang merupakan saksi pendakwaan kelapan hadir bagi perbicaraan berhubung kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur hari ini. - Foto BERNAMA
Bekas Pegawai Khas Datuk Seri Najib Tun Razak, Datuk Amhari Efendi (tengah) yang merupakan saksi pendakwaan kelapan hadir bagi perbicaraan berhubung kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur hari ini. - Foto BERNAMA
A
A
A

KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu bahawa China State-owned Assets Supervision and Administration Commission of the State Council (SASAC) dan China State-Owned Enterprises (SOE) akan memuktamadkan perjanjian untuk menyelesaikan isu hutang 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan anak syarikatnya, SRC Iternational Sdn Bhd sebelum akhir Julai atau Ogos 2016.

Saksi penting pendakwaan, Datuk Amhari Efendi Nazarudin, 43, berkata, perkara itu diputuskan pada mesyuarat yang diadakan di China pada 28 Jun 2016 dengan pihak SASAC.

Beliau berkata demikian ketika dirujuk dengan laporan mesyuarat yang diadakan di negara itu oleh Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib pada hari keempat perbicaraan Datuk Seri Najib Tun Razak yang didakwa atas empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dalam dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah wang sama.

Saksi pendakwaan kelapan itu berkata, dalam mesyuarat tersebut perkara yang dibincangkan adalah mengenai hutang 1MDB dan SRC.

"Secara keseluruhannya, mesyuarat ini membincangkan perjanjian usahasama perdagangan antara China dan Malaysia membabitkan pengukuhan hubungan penting dan utama kepada SASAC untuk bekerjasama dengan Malaysia.

"Antara perkara yang penting dibincangkan adalah seperti perlunya sokongan padu terhadap Datuk Seri Najib Razak bagi mengekalkan kestabilan dan kemakmuran di rantau ini.

"Kandungan dokumen ini pernah saya laporkan kepada Najib tetapi saya tidak ingat bila. Namun saya tidak mengambil tindakan lanjut dan hanya menunggu arahan daripada Jho sahaja (ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low).

Merujuk kepada sebuah dokumen laporan minit mesyuarat di China pada 28 dan 29 Jun 2016 serta di Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu pada 30 Jun tahun sama, saksi itu mengesahkan dokumen itu menceritakan butiran perancangan Jho Low supaya memberikan peranan sebagai koordinator keseluruhan 1MDB dan SRC program penyelesaian hutang kepada ahli lembaga pengarah 1MDB ketika itu yang juga sekutu Jho Low, Terence Geh.

Artikel Berkaitan:

"Dokumen yang dirujuk ini saya boleh rumuskan sebagai lanjutan daripada lawatan peribadi saya ke China pada 28 Jun 2016 seperti telah saya nyatakan sebelum ini projek-projek yang dicadangkan tersebut adalah untuk menyelamatkan 1MDB.

"Terence juga dipertanggungjawabkan untuk mengkoordinasi hasil lawatan ke China kepada saya serta memaklumkan perkembangan program (program penyelesaian hutang) ini dari semasa ke semasa kepada saya," katanya.

Terence ketika itu memegang jawatan sebagai sekretariat Malaysia-China Strategic High Impact Economic Committee (MCSHIEC) dan berada di bawah seliaan Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan (Menteri yang dipertanggungjawabkan) dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar.

“Projek yang dimaksudkan adalah Saluran Paip Pelbagai Produk (MPP), Saluran Paip Gas Trans-Sabah (TSGP) dan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL),” katanya semasa membacakan penyataan saksi setebal 77 muka surat itu.

Esok pasukan peguam yang diketuai Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah akan memeriksa balas saksi itu selepas beliau selesai memberikan keterangan pada pemeriksaan utama oleh pihak pendakwaan.

Perbicaraan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung 9.30 pagi esok. - Bernama