Pak guard buat aduan majikan gagal bayar caruman

Mohd Khairol (empat dari kanan) menyerahkan surat aduan kepada wakil Perkeso negeri di sini.
Mohd Khairol (empat dari kanan) menyerahkan surat aduan kepada wakil Perkeso negeri di sini.
A
A
A

KOTA BHARU – Sekumpulan pengawal keselamatan di beberapa buah sekolah di daerah ini tampil membuat aduan di Pejabat Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Kelantan selepas bekas majikan mereka didapati tidak mencarum sewajarnya.

Wakilnya, Mohd Khairol Rizzuan Mohd Sapawi, 33, berkata, syarikat beribu pejabat di Kuala Lumpur itu didakwa gagal membuat caruman kepadanya dan 32 yang lain, walaupun potongan gaji telah dibuat.

“Kami hadir hari ini untuk menyerahkan surat aduan kepada pihak Perkeso supaya kerajaan dapat melakukan tindakan sepatutnya kepada syarikat tersebut.

“Kami mempunyai tanggungan keluarga, sewa rumah dan sebagainya. Sebelum ini, gaji kami dibayar lambat tapi kami masih bersabar tetapi apabila caruman pula tidak dilakukan tetapi gaji kami dipotong, maka kami terpanggil untuk membuat aduan.

“Kami juga telah menerima notis tamat perkhidmatan pada 31 Ogos lalu dan kami tetap mahu perjuangkan juga wang caruman yang telah mereka selewengkan sebelum ini.

"Bantulah kami, harap pihak berkuasa dapat ambil tindakan sewajarnya,” katanya kepada pemberita di sini.

Seramai 11 wakil pekerja tersebut tiba di Pejabat Perkeso negeri pada jam 10 pagi dan menyerahkan surat aduan tersebut kepada wakil Perkeso.

Laporan polis berhubung perkara tersebut turut dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Bharu pagi tadi.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Roslan Kamarul Zaman, 42, memberitahu, kerajaan seharusnya melakukan pemantauan bagi memastikan tiada syarikat yang culas membuat caruman kepada pekerja.

“Kerajaan perlu pantau, jika tidak ramai yang akan jadi mangsa seperti kami. Bila sudah sampai satu tahap yang lama, maka tuntutan akan menjadi sia-sia sahaja.

“Kami tidak mahu apa yang berlaku pada kami ini terjadi kepada orang lain. Saya harap pihak Perkeso dan pihak berkuasa dapat ambil tindakan sewajarnya kepada syarikat tersebut,” katanya.