Pengusaha kedai emas disaran sedia pengawal keselamatan

Amran (tengah) mengadakan perjumpaan khas dengan pengusaha kedai emas dan pajak gadai di pekan Kuala Pilah. - Foto Facebook IPD Kuala Pilah
Amran (tengah) mengadakan perjumpaan khas dengan pengusaha kedai emas dan pajak gadai di pekan Kuala Pilah. - Foto Facebook IPD Kuala Pilah
A
A
A

KUALA PILAH - Pengusaha kedai emas dan pajak gadai di daerah ini disaran menyediakan pengawal keselamatan di premis mereka bagi meningkatkan tahap keselamatan sedia ada.

Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintenden Amran Mohd Ghani berkata, semua premis berkenaan dilengkapi kamera litar tertutup (CCTV), namun tidak disediakan pengawal keselamatan.

"CCTV hanya dapat merakam kejadian berlaku. Tetapi dengan adanya pengawal keselamatan sekurang-kurangnya dapat meningkatkan lagi tahap keselamatan sedia ada.

"Kalau kita tengok di bank pun ada disediakan pengawal keselamatan. Polis sememangnya ada buat rondaan keselamatan, tapi kita tak mampu nak kawal semuanya sendirian tanpa komitmen semua pihak," katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Menurutnya, pihaknya juga telah memaklumkan perkara itu kepada kesemua pengusaha dalam perjumpaan khas yang diadakan baru-baru ini susulan kejadian dua pembekal barang kemas disamun membabitkan kerugian RM1.8 juta, pada 4 Mei lalu.

Tambahnya, terdapat sembilan kedai emas dan dua kedai pajak gadai di pekan Kuala Pilah.

Sebelum ini media melaporkan, dua lelaki bertopeng dan bersenjatakan parang menyamun dua pembekal emas yang baru tiba di bahagian belakang sebuah kedai emas di Jalan Pasar Rabu, di sini pada 4 Mei lalu.

Suspek kemudiannya melarikan dua beg yang dipercayai berisi barang kemas dianggarkan bernilai RM1.8 juta sebelum beredar menaiki kereta menggunakan nombor pendaftaran palsu.

Mengenai perkembangan siasatan kes samun berkenaan, Amran berkata, sehingga kini pihaknya masih menjalankan siasatan dan seorang yang ditahan sebelum ini sudah dibebaskan dengan jaminan.