Esscom tunggu kelulusan KDN lulus SCP

No Image Caption
A
A
A

LAHAD DATU - Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) menghantar semula permohonan penguatkuasaan Pusat Pemeriksaan Laut (SCP) di Zon Selamat Timur Sabah (Esszone), bagi kelulusan Kementerian Dalam Negeri.

Komander Esscom, Datuk Hazani Ghazali berkata, pihaknya mahu penubuhan SCP digazetkan dengan undang-undang agar mana-mana kapal yang mempunyai ‘urusan’ di perairan Esszone perlu diperiksa di SCP.

"Pada 2001, Kabinet Sabah (pemerintahan terdahulu) ada menguar-uarkan Designated Routes (Pelaksanaan Laluan Ditetapkan) namun kalau kapal-kapal dagang dan penumpang dari Filipina atau Indonesia yang masuk ke perairan Sabah ketika itu, kita tidak dapat mengambil tindakan undang-undang sebabnya kita tidak buat (sistem) ikut perundangan.

"Pada waktu itu masalahnya tidak ada undang-undang yang boleh diambil, jadi (kapal-kapal) sewenang-wenangnya buat (laluan) keluar ikut kiri, belakang pun boleh, sebab itu SCP yang saya uar-uarkan kali ini mesti digazetkan oleh undang-undang," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Menurut Hazani, penubuhan SCP bagi memantau pergerakan serta mencegah pelanggaran perundangan negara itu, turut mendapat sokongan penuh daripada Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

"Kalau dia (kapal) keluar, dan didapati masuk tidak melalui SCP kita akan ambil tindakan undang-undang," katanya

Dalam pada itu, Hazani mendedahkan setiap daerah yang terlibat dalam perniagaan pertukaran barangan (barter trade) dicadang diwujudkan SCP.

Sementara itu, katanya cadangan untuk mendaftarkan semua bot pam di Esszone adalah perlu sebagai tujuan keselamatan sekali gus membanteras jenayah rentas sempadan termasuk penyeludupan.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, bot-bot itu hendaklah dicat dengan warna berbeza mengikut daerah agar memudahkan pihak berkuasa membuat pengecaman. - Bernama