70 kompaun hari pertama caj parkir MDKS

Anggota penguatkuasa MDKS menjalankan operasi kesalahan gagal mempamerkan kupon letak kereta sah pada hari pertama perlaksanaan caj parkir berbayar semalam.
Anggota penguatkuasa MDKS menjalankan operasi kesalahan gagal mempamerkan kupon letak kereta sah pada hari pertama perlaksanaan caj parkir berbayar semalam.
A
A
A

KUALA SELANGOR - Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) mengeluarkan sebanyak 70 kompaun di bawah kesalahan gagal mempamerkan kupon letak kereta sah pada hari pertama perlaksanaan caj parkir berbayar semalam.

Yang Dipertuanya, Rahilah Rahmat berkata, operasi rondaan itu dijalankan secara berkala bermula jam 8 pagi hingga 5 petang.

Menurutnya, rata-rata pengguna memahami dan mematuhi pelaksanaan caj parkir berkenaan.

"Hanya terdapat segelintir kecil pengguna masih keliru dengan tarikh pelaksanaan yang bermula dikuatkuasakan semalam," katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Beliau menegaskan, pihaknya berterusan menjalankan proses habahan kepada orang awam menerusi laman sosial Facebook dan laman sesawang rasmi MDKS.

"Orang ramai yang dikenakan kompaun boleh membuat pembayaran segera dengan kadar RM10 dalam tempoh 24 jam.

"Jika lewat kadar bayaran akan meningkat kepada RM30 dalam tempoh 14 hari dan kadar maksimum adalah RM80 jika melebihi 30 hari," katanya.

Rahilah berkata lagi, orang ramai boleh mendapatkan kupon gores melalui 140 ejen yang dilantik di semua kawasan operasi tempat letak kereta (TLK).

Artikel Berkaitan:

"Ejen kupon ini boleh dikenal pasti melalui papan-papan tanda ejen yang telah dipasang, manakala aplikasi Smart Selangor Parking dan Flexi Parking boleh dimuat turun melalui Google Play dan juga Apple Store," katanya.

Selain itu katanya, pihaknya juga menawarkan harga promosi pas bulanan berharga RM60 sebulan mulai September sehingga Disember depan.

"Harga pas bulanan akan dijual pada harga asal iaitu RM70 sebulan mulai mulai 1 Januari 2020," katanya.

Justeru tegas beliau, penguatkuasa MDKS akan melakukan pemantauan dan membuat rondaan secara berkala.

"Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan untuk mematuhi peraturan Undang-Undang Kecil Perintah Pengangkutan Jalan Tempat Letak Kereta bagi mengelakkan daripada dikenakan tindakan kompaun," katanya.