Mahu jaringan kereta api sehingga Kuala Selangor, Sabak Bernam

Amirudin (tengah) melihat pameran seni kraf tempatan pada Majlis Pengenalan Pembangunan SABDA di Nazbell Cottage and Garden, Sungai Besar di sini pada Jumaat.
Amirudin (tengah) melihat pameran seni kraf tempatan pada Majlis Pengenalan Pembangunan SABDA di Nazbell Cottage and Garden, Sungai Besar di sini pada Jumaat.
A
A
A

SABAK BERNAM - Kerajaan Selangor berazam untuk menghubungkan jaringan pengangkutan perkhidmatan kereta api sehingga ke Kuala Selangor dan Sabak Bernam.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, usaha itu akan menjadi tumpuan kerajaan negeri dalam tempoh lima tahun akan datang.

Menurut beliau, projek infrastruktur pengangkutan awam itu diharap dapat memberi manfaat kepada penduduk di Utara Selangor.

"Sekarang kita sudah ada perkhidmatan kereta api sampai di Klang, maknanya tinggal 10 hingga 20 kilometer sahaja boleh sampai ke Kuala Selangor.

"Kita (harap perkhidmatan ini) dapat dipanjangkan landasannya sehingga 40 kilometer lagi ke Sungai Besar," katanya ketika berucap semasa Majlis Pengenalan Pembangunan SABDA di Nazbell Cottage and Garden, Sungai Besar di sini pada Jumaat.

Amirudin berkata, perkhidmatan itu membolehkan penduduk di dua daerah itu menggunakan perkhidmatan awam terbabit untuk menjalankan pelbagai urusan.

"Penduduk boleh ke Kuala Lumpur tanpa perlu fikirkan duit minyak yang banyak dan hanya membayar tambang kereta api dan boleh sampai ke Kuala Lumpur," jelas beliau.

Menurut beliau, sekiranya perkhidmatan kereta api ditingkatkan kualitinya kepada Transit Aliran Ringan (LRT) dan Transit Aliran Massa (MRT), maka jumlah penduduk Sabak Bernam dapat ditingkatkan.

"Anak muda masih boleh tinggal dengan mak dan ayah di Sabak Bernam dan boleh bekerja di Kuala Lumpur, Shah Alam dan Klang tanpa perlu mereka meninggalkan kampung halaman.

"Kita ada keseimbangan penduduk dan tidaklah semua tertumpu di Petaling Jaya, Subang dan Klang, sebaliknya boleh penuhkan kawasan Sabak Bernam ini yang memerlukan pembangunan," ujar beliau.