Sedania catat keuntungan tiga kali ganda pada suku pertama

Azrin Mohd Noor
Azrin Mohd Noor
A
A
A

PEMANGKIN ESG Sedania Innovator Berhad (Sedania) mencatatkan lonjakan tiga kali ganda keuntungan pada suku pertama berakhir 31 Mac 2023 (1QFYE23).

Pengasas dan Pengarah Urusannya, Datuk Azrin Mohd Noor berkata, keuntungan selepas cukai melonjak kepada RM1.6 juta pada suku pertama 2023 berbanding RM510,000 tahun lalu.

"Prestasi keuntungan yang positif dicapai seiring dengan pendapatan kumpulan yang meningkat 29 peratus kepada RM11.7 juta pada 1QFYE23 daripada RM9.0 juta setahun yang lalu.

"Ia didorong oleh sumbangan yang lebih kukuh daripada segmen ‘Sustainable Healthcare’ dan ‘FinTech’, serta keuntungan operasi yang lebih baik daripada semua segmen perniagaan.

“Keuntungan selepas cukai 1QFYE23 kami melebihi pendapatan tahunan penuh bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Tambah Azrin, pencapaian positif tersebut merintis potensi pertumbuhan memberangsangkan untuk Sedania pada tahun ini.

"Jenama ‘Sustainable Healthcare’ kami, Offspring, kini boleh didapati di 26 negara selepas pengembangan pasaran terbaharunya ke UAE, Arab Saudi dan Mesir. Ia merupakan antara pemacu pertumbuhan kami masa hadapan.

"Dengan kira-kira 200 negara di dunia dan anggaran peningkatan populasi hampir dua bilion orang dalam tempoh 30 tahun akan datang, masih terdapat banyak ruang untuk pertumbuhan luas bagi Offspring terutama di dunia hari ini yang semakin menghargai dan mengutamakan kelestarian," ujarnya.

Menurut beliau, prospek pertumbuhan bagi segmen ‘FinTech’ juga bertambah baik melalui kerjasama hibah digital dengan syarikat bersekutu terbaharu, Wasiyyah Shoppe Berhad (Wasiyyah Shoppe).

Jelasnya, dengan kadar pelaksanaan hibah dalam kalangan umat Islam Malaysia kini hanya 0.2 peratus, terdapat banyak peluang pertumbuhan melalui kerjasama ini.

"Kami berada dalam kedudukan strategik untuk mengembangkan keuntungan dengan memasuki pasaran yang belum diterokai ini sambil memacu warisan lestari dan perancangan kekayaan.

"Ia untuk masyarakat Islam tempatan, terutamanya dengan beberapa institusi perkhidmatan kewangan menyatakan minat terhadap platform hibah digital hujung ke hujung kami yang lengkap," tambah beliau.

Dalam 1QFYE23, Sedania turut mencatatkan sumbangan keuntungan daripada syarikat bersekutu berjumlah RM160,000.

Ia diperoleh daripada Wasiyyah Shoppe berikutan selesai pengambilalihan 20 peratus kepentingan Sedania seperti yang diumumkan pada 1 Mac 2023.