Merdeka dan hijrah daripada minda sempit

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KELMARIN dan semalam kita menyambut dua peristiwa besar: hari kemerdekaan negara ke-62 dan tahun baharu 1441 hijrah. Dua hari istimewa itu yang disambut rapat selang sehari sebenarnya mempunyai signifikan yang besar jika kita mampu melihatnya dengan mata hati.

Merdeka dalam erti kata hari ini bukan lagi disambut kerana kita sudah bebas daripada cengkaman penjajah. Tetapi merdeka perlu diraikan dengan membebaskan minda kita daripada terus terkepung dalam pemikiran yang sempit.

Peristiwa hijrah pada awalnya dikenang kerana perpindahan Rasulullah SAW bersama umat Islam Makkah ke Kota Madinah bagi menyelamatkan agama suci itu daripada ancaman kafir Quraisy. Bagi kita pada zaman milenium ini intipati perpindahan itu boleh diterjemahkan dengan melakukan penghijrahan diri dan hati daripada terlalu mengikut hawa nafsu kepada tindakan yang lebih rasional.

Sejak beberapa detik kebelakangan ini, isu perkauman, keagamaan dan prejudis sering kali menjadi bahan perdebatan dalam kalangan segelintir pihak untuk mengejar kepentingan diri.

Isu tulisan jawi, kontroversi penceramah terkenal Dr Zakir Naik, penganjuran program bacaan al-Quran semuanya dikutip serta dimanipulasi menjadi perkara sensitif demi sebuah nama, kedudukan mahupun survival politik.

Sehingga suasana harmoni rakyat Malaysia sering kali dikeruhkan dengan perang komen di media sosial oleh mereka yang kononnya mengaku sebagai pejuang bangsa masing-masing.

Sepatutnya semua lapisan masyarakat menjunjung kepentingan negara melebihi daripada kehendak nafsu sendiri.

Marilah kita mengambil kesempatan dalam suasana merdeka dan hijrah ini untuk membebaskan minda serta melakukan perubahan dengan membuang segala kudis gatal perbalahan sosial.

Artikel Berkaitan:

Kita perlu terus melihat ke hadapan, berganding bahu untuk berdepan dengan pelbagai cabaran yang bakal mendatang sebagai sebuah negara merdeka dan sebuah bangsa yang bermaruah.

Bagi orang politik, ketepikan keegoan dan agenda peribadi serta jadilah pemimpin yang bertanggungjawab membawa rakyat Malaysia ke arah kehidupan yang lebih baik.

Tutup buku perkauman dan prejudis; bebaskan minda sempit kita dan lihatlah dunia dengan mata hati yang lebih luas!

Artikel Disyorkan