Kemerdekaan jana produktiviti

A
A
A

TEMA Hari Kebangsaan 2019: 'Sayangi Malaysiaku: Malaysia Bersih' bukan sahaja dilihat dari sudut patriotisme semata-mata.

Kemerdekaan yang kita kecapi sekarang sepatutnya memantapkan semangat untuk bagaimana mempertahankan kemerdekaan dan 'bagaimana mengisi erti kemerdekaan.'

'Malaysia Bersih' juga boleh dilihat dari sudut kesihatan dan mengutamakan persekitaran bersih yang menjadi kriteria pencapaian produktiviti.

Kemerdekaan juga membolehkan kita menjana produktiviti sebagai cara kehidupan. World Bank menyatakan bahawa status kesihatan pekerja sangat penting dalam sesebuah organisasi kerana kesihatan berhubung kait dengan produktiviti pekerja.

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), kesihatan merupakan kesejahteraan fizikal, mental serta sosial dan bukan hanya ketiadaan penyakit.

Tahap kesihatan juga merupakan tahap ukuran kesihatan individu dan juga sesebuah masyarakat. Menurut Bedworth dan Bedwort, kesihatan merupakan kualiti fizikal, psikologikal dan sosial yang membolehkan manusia menguruskan diri sendiri dan juga orang lain dalam pelbagai situasi.

Produktiviti ialah penggunaan yang efektif segala punca tenaga seperti tenaga manusia, modal, bahan-bahan, tenaga, informasi dan sebagainya bagi menghasilkan pelbagai produk dan juga perkhidmatan.

Produktiviti lebih mengutamakan output berbanding input. Bermaksud apa sahaja yang kita lakukan lebih mengukur berapa banyak hasil yang kita dapat daripada apa yang kita laburkan.

Artikel Berkaitan:

Ia merupakan satu ukuran kecekapan seseorang untuk menyelesaikan sesuatu tugas.

Oleh itu jika seseorang individu kurang masa digunakan bagi menghasilkan produk, maka dikatakan lebih produktif. Masalah persekitaran, tekanan kerja serta perubahan sosial banyak menyumbang kepada wujudnya peningkatan masalah kesihatan.

Ini termasuk beberapa penyakit mental dan psikologi seperti ketagihan media sosial, penagihan alkohol, penyalahgunaan dadah, mental breakdown dan masalah rumah tangga.

Semua keadaan ini menyebabkan tekanan mental, keadaan kemurungan (depression) dan juga kebimbangan (anxiety) dalam kalangan pekerja.

Apabila keadaan ini wujud maka berlakulah penurunan produktiviti. Perkara ini perlu ditangani oleh pihak pengurusan kerana produktiviti adalah matlamat utama organisasi.

WHO menganggarkan bahawa sebanyak 13 peratus daripada jumlah tenaga pekerja mengalami kehilangan produktiviti dalam tempoh dua minggu akibat daripada pekerja yang tidak sihat.

Budaya hidup

Dengan kemerdekaan, keamanan dan kemajuan yang dialami sekarang menuntut untuk kita melihat produktiviti sebagai budaya kehidupan. Produktiviti bukanlah satu ikhtiar yang mementingkan diri sendiri sahaja. Tetapi juga bagaimana mereka dapat mengimbangi tanggungjawab yang berbeza dalam kehidupan sambil menambah nilai dalam setiap bidang berbeza: keluarga, kerja, komuniti dan pembangunan agama.

Maka, kemerdekaan sebenarnya pemacu kepada produktiviti dan daya pengeluaran sebagai asas hidup. Kunci utama kepada pencapaian ini ialah progeny atau keturunan, kehidupan, akal dan sumber.

Untuk melahirkan rakyat yang produktif, maka setiap individu perlulah menanamkan budaya mengutamakan produktiviti sebagai asas hidup. Bermaksud rakyat yang produktif mestilah mengutamakan kesihatan, emosi, mental dan fizikal dalam apa jua tugas atau rutin harian malahan cabaran yang dihadapinya.

Sikap, tingkahlaku dan amalan membudayakan produktiviti ini bermula dari rumah, menyerap dalam keluarga dan masyarakat dan seterusnya pada generasi atau keturunan akan datang.

Pendedahan awal dengan cara yang produktif akan menjadi pewaris kepada keturunan yang produkif. Rakyat yang produktif perlu berwawasan dan melihat kehadapan (forward thinking) dengan menerapkan pemikiran agar bersifat kognitif, pemikiran kritikal dan futuristik.

Penerapan idea inovatif dalam apa juga yang kita lakukan juga mampu menghasilkan generasi atau masyarakat inovatif dan kreatif.

Namun aspek yang penting bagi melahirkan rakyat yang produktif semestinya mengutamakan kelestarian.

Dalam memastikan agar wujudnya masyarakat yang mengutamakan produktiviti maka proses yang berterusan dan mampan, maka memerlukan sumber seperti manusia yang terlatih dan berpengalaman.

Serta sumber kewangan dan juga peralatan serta kemudahan yang bersesuaian.

* Prof Madya Datuk Dr Ismail Sualman ialah Pengarah Pusat Pengajian Perangsaraf Media dan Informasi Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, Universiti Teknologi Mara