X

Kindly register in order to view this article
!

Betulkan mentaliti daripada dijajah: Ahmad Samsuri

Ahmad Samsuri
A
A

KUALA TERENGGANU - Minda dan pemikiran sebahagian generasi hari ini masih lagi dijajah walaupun negara sudah merdeka 62 tahun daripada penjajah.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, bukan itu sahaja, elemen merosakkan negara seperti rasuah, penyalahgunaan media sosial, salah guna kuasa, gejala sosial dan seumpamanya semakin berleluasa turut mencacatkan erti kemerdekaan sebenar.

Menurutnya, dalam menghadapi cabaran masa depan lebih besar, hala tuju dan penyelesaian perlu dilakukan agar maruah dan kedaulatan negara dapat dipelihara sepanjang masa.

“Antaranya kita perlu memperkasakan semula Rukun Negara. Seterusnya, memperbetulkan ideologi dan mentaliti bahawa kita semua adalah warganegara Malaysia walaupun berbeza agama dan bangsa serta menghormati perlembagaan sebagai struktur perundangan tertinggi negara.

“Dalam konteks kerajaan negeri pula, Ikrar Bebas Rasuah (IBR) adalah salah satu contoh komitmen untuk meningkatkan tahap integriti dalam pentadbiran selain mengumpulkan semua kaum dalam Program Dialog Harmoni, mengadakan program perpaduan ummah dan sebagainya ke arah memupuk perpaduan yang jitu dalam kalangan umat Islam dan masyarakat majmuk di negara Malaysia khususnya negeri Terengganu,” katanya pada perutusan sempena Hari Kebangsaan, hari ini.

Jelas beliau, sebagai rakyat yang cintakan negara, rakyat sewajarnya mengucapkan rasa syukur kerana terus diberikan kesempatan mengecapi nikmat kemerdekaan sempena genap 62 tahun kemerdekaan esok.

Jelasnya, menelusuri sejarah kemerdekaan negara, umum mengetahui pahit getir yang telah dilalui oleh pejuang terdahulu untuk membebaskan negara.

“Tidak perlu dihuraikan lagi kerana pengorbanan mereka sudah terpahat kukuh dalam lipatan sejarah kemerdekaan. Hasilnya, pelbagai pencapaian dan kejayaan telah dirasai dan dinikmati hasil daripada perjuangan

mereka.

“Tema Hari Kebangsaan 2019, ‘Sayangi Malaysiaku: Malaysia Bersih’ yang digariskan memberi seribu satu makna untuk kita hayati.

"Ia menuntut kita membuat penilaian semula sejauh mana negara sudah merdeka. Adakah kemerdekaan yang dikecapi ini sekadar kemerdekaan fizikal atau sebaliknya,” katanya.

Beliau turut menyeru semua rakyat menghayati erti sebenar kemerdekaan dan membentuk kesatuan, tenaga dan pemikiran dalam diri demi agama dan negara.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!